25,781 jip dan pikap nikmati SKDS setakat 23 Julai

25,781 jip dan pikap nikmati SKDS setakat 23 Julai

ARMIZAN Mohd. Ali menyempurnakan Majlis Penyerahan Kad Fleet SKDS di Kompleks Sukan Sandakan, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN: Sebanyak 15,388 syarikat melibatkan 25,781 kenderaan telah berdaftar di bawah kategori Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat–Jip dan Pikap) menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) setakat 23 Julai lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ia mencerminkan sambutan positif terhadap peluasan skim itu.

Beliau berkata, peluasan kelayakan kepada kategori baharu sejak 3 Julai lalu membolehkan perniagaan milikan tunggal dan perkongsian menggunakan kenderaan jip serta pikap berdaftar di bawah kelas kegunaan Persendirian Syarikat menikmati subsidi diesel melalui mekanisme SKDS.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10,453 syarikat melibatkan 18,538 kenderaan atau 67.9 peratus adalah dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kad Fleet SKDS di Kompleks Sukan Sandakan di sini, hari ini.

Sabah merekodkan jumlah tertinggi dengan 5,583 syarikat melibatkan 10,046 kenderaan diikuti Sarawak, 4,713 syarikat (8,292 kenderaan); Semenanjung, 4,935 syarikat (7,243 kenderaan) dan Labuan, 157 syarikat (200 kenderaan).

Armizan berkata, pihaknya mengawal selia penyaluran subsidi diesel bagi 35 jenis kenderaan perdagangan manakala subsidi bagi kategori individu melalui BUDI Diesel dan BUDI Agri-Komoditi berada di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan.

Katanya, setakat 23 Julai lalu, sebanyak 190,012 syarikat melibatkan 493,160 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS di seluruh negara meliputi sektor Pengangkutan Darat (Awam), Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna) dan Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat-Jip dan Pikap).

Beliau berkata, syarikat yang telah mendapat kelulusan SKDS perlu mendapatkan kad fleet daripada syarikat minyak bagi membolehkan pembelian diesel bersubsidi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN