Pembekuan tentera ATM tidak jejas pertahanan negara

Pembekuan tentera ATM tidak jejas pertahanan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memastikan perolehan membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibeku sementara tidak menjejaskan operasi dan kesiapsiagaan pertahanan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya akan memohon perolehan tentera diteruskan sekiranya keputusan pembekuan itu menjejaskan operasi dan kesiapsiagaan dalam mempertahankan benteng negara.

Tambahnya, ATM setiap masa melaksanakan operasi terutama di kawasan-kawasan sempadan seperti di Laut China Selatan dan Selat Melaka.

“Ia bergantung kepada proses dan mesti melalui menteri dan tentunya seperti yang saya pernah katakan, kita akan merujuk kepada kerajaan.

“Jika ada yang boleh menjejaskan operasi dan kesiapsiagaan maka kita akan mohon untuk diteruskan perolehan-perolehan itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Pada minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan semua keputusan perolehan membabitkan ATM dan PDRM dan agensi berkaitan yang terkait dengan isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, semangat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak terjejas walaupun berhadapan dengan siasatan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, siasatan itu tidak memberi kesan kepada anggota dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka.

“Saya sangat gembira dengan itu, dengan kepimpinan baharu terutama di (ATM), saya percaya episod ini boleh diurus untuk kebaikan negara,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN