PETALING JAYA: Tindakan menggantung Lesen Pengendali dan Permit Kenderaan syarikat bas milik Zulco Sdn. Bhd. (Aeroline) bermula 6 November hingga 5 Disember ini dilaksanakan mengikut ketetapan undang-undang susulan kegagalan syarikat mematuhi syarat lesen ditetapkan.
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berkata, penggantungan itu dibuat di bawah Seksyen 27 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) selepas syarikat berkenaan melanggar Perkara 16 dan 19 Syarat Am Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) Bas Ekspres.
“Perkara 16 menetapkan pengendali perlu memastikan kenderaan diletak di lokasi yang diluluskan pihak berkuasa tempatan atau APAD ketika tidak beroperasi, manakala Perkara 19 melarang pengambilan atau penurunan penumpang di lokasi berbahaya atau tidak dibenarkan oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat.
“Hasil pemeriksaan mendapati syarikat menyalahgunakan lesen bas ekspres dengan mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi tidak dibenarkan. Bas syarikat turut dikesan beroperasi di luar terminal tanpa kebenaran pada 3 Februari, 21 Mei dan 10 Oktober 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
APAD turut memaklumkan, syarikat telah diberi nasihat dan amaran supaya menukar permit perkhidmatan ke terminal diluluskan, namun gagal mematuhinya.
Katanya, sebanyak tiga Surat Tunjuk Sebab (STS) turut dikeluarkan antara 13 Mac hingga 10 Oktober 2025 dan syarikat mengakui kesalahan melalui maklum balas rasmi.
Sebelum ini, tindakan penggantungan juga telah dikenakan terhadap bas ekspres VBR8808 dan VH8805 selama 37 hari (3 April hingga 9 Mei 2025) serta VH8802 selama 30 hari (24 Julai hingga 22 Ogos 2025).
“Pada 21 Oktober 2025, Mesyuarat Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen (JPPL) Bil.15/2025 mendapati syarikat melakukan kesalahan berulang dan memutuskan penggantungan lesen pengendali selama 30 hari,” kata kenyataan itu.
Sepanjang tempoh penggantungan, Zulco Sdn. Bhd. tidak dibenarkan mengendalikan mana-mana perkhidmatan di bawah lesen tersebut.
APAD berkata, tindakan itu bertujuan menjamin keselamatan penumpang, mengurangkan kesesakan di pusat bandar serta menyokong usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam mewujudkan persekitaran bandar yang teratur dan selamat.
“APAD tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengendali yang gagal mematuhi peraturan atau menyalahgunakan lesen. Semua pengendali diingatkan mematuhi syarat lesen bagi mengelak tindakan termasuk pembatalan lesen.
“APAD kekal komited dalam memastikan ekosistem pengangkutan awam darat negara selamat, cekap, berdaya saing dan berteraskan nilai Malaysia Madani,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, perkhidmatan bas Aeroline akan menghentikan sementara semua perjalanan berjadual dari 6 November hingga 5 Disember 2025 susulan arahan dikeluarkan oleh APAD.
Menurut kenyataan syarikat itu, arahan penggantungan tersebut berkaitan dengan operasi berterusan mereka dari titik perkhidmatan sendiri di Corus KLCC, 1 Utama dan Sunway Pyramid dan bukannya berpindah ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) seperti diarahkan pihak berkuasa.
Aeroline berkata, pihaknya kini sedang merayu terhadap penggantungan itu dengan harapan dapat terus beroperasi dari lokasi sedia ada di pusat bandar. – UTUSAN










