Insiden maut Depoh Subang: APAD kompaun Rapid Rail RM100,000

Insiden maut Depoh Subang: APAD kompaun Rapid Rail RM100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengenakan kompaun sebanyak RM100,000 terhadap Rapid Rail Sdn. Bhd. (RRSB) atas kesalahan di bawah Seksyen 101(7)(e) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Menurut APAD, tindakan punitif itu dikenakan susulan insiden pada 12 Disember 2024 kira-kira pukul 3.36 pagi di Depoh Subang milik RRSB.

“Pada ketika itu, sebuah jentera shunting gagal berfungsi dengan sempurna akibat ketidakpatuhan terhadap garis panduan penyelenggaraan yang ditetapkan oleh Original Equipment Manufacturer (OEM).

“Kegagalan sistem brek jentera berkenaan menyebabkan pelanggaran dengan jentera Speeder 3 sehingga mengakibatkan satu kematian dan tiga kecederaan dalam kalangan kakitangan RRSB.

“Insiden tersebut turut menyebabkan kerosakan serius terhadap Jentera Grinder, Speeder 3 dan Shunting dengan anggaran kerugian sebanyak RM574,550,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut APAD, siasatan mendapati RRSB selaku pengendali berlesen gagal memastikan jajaran dan jentera kereta api berada dalam keadaan selamat untuk pengoperasian.

“Di bawah Seksyen 101(10) akta yang sama, jika disabitkan kesalahan, pihak yang bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

“Kami menegaskan keselamatan operasi pengangkutan awam darat merupakan keutamaan tertinggi dan tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan,” katanya.

Menurut APAD, tindakan penguatkuasaan tersebut bukan sahaja bertujuan memastikan pematuhan undang-undang, malah menjadi peringatan tegas kepada semua pengendali perkhidmatan rel agar sentiasa mematuhi piawaian teknikal penyelenggaraan serta memastikan latihan mencukupi diberikan kepada kakitangan terlibat.

APAD berkata, keputusan mengekalkan kompaun tersebut mengambil kira kepentingan awam dan prinsip akauntabiliti bagi memastikan integriti sistem pengangkutan rel negara terus terpelihara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN