PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarahkan supaya segera mengaudit serta menyiasat syarikat pengendali treler yang terlibat dalam kemalangan maut yang meragut tiga nyawa di Segamat, Johor baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, syarikat berkenaan perlu dipertanggungjawabkan atas kegagalan memastikan disiplin mereka termasuk dalam aspek pematuhan undang-undang dan keselamatan jalan raya.
“Saya ingin mengingatkan semua pemandu agar tidak sesekali memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah dan alkohol.
“Akibatnya bukan sahaja membahayakan keselamatan dan masa depan diri sendiri, malah boleh membawa risiko yang mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain.
“Saya turut mengarahkan pihak JPJ dan APAD untuk segera mengaudit serta menyiasat syarikat pengendali treler tersebut. Syarikat berkenaan juga perlu dipertanggungjawabkan atas kegagalan memastikan disiplin pemandu mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pihak polis diharapkan dapat menyegerakan siasatan kes berkenaan dan memastikan pemandu terbabit dihadapkan ke mahkamah dalam kadar segera.
Katanya, kerajaan mengakui majoriti pemandu lori adalah profesional dan menjalankan tanggungjawab dengan baik, namun masih terdapat segelintir yang tidak bertanggungjawab serta terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang.
“Saya yakin pihak Peguam Negara akan mengarahkan pendakwaan tegas yang setimpal dengan kesalahan dilakukan,” katanya.
Beliau turut menziarahi ahli keluarga mangsa di Hospital Segamat tengah hari tadi, selain dimaklumkan dua mangsa masih menerima rawatan dengan seorang daripadanya berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU).
“Dalam lawatan tersebut, saya sempat bertemu ibu bapa kedua-dua mangsa serta menyampaikan sedikit sumbangan peribadi bagi membantu kos rawatan dan meringankan beban keluarga terlibat.
“Ini merupakan satu lagi insiden amat menyedihkan yang berpunca daripada penyalahgunaan dadah oleh pemandu lori terbabit,” katanya.
Sebelum ini, tiga individu maut manakala dua lagi cedera ringan dalam satu kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 212, Jalan Johor Bahru-Seremban berdekatan persimpangan Taman Golden Hill, Gemas Baharu, petang kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk CP Ab Rahaman Arsad berkata, kejadian pada pukul 3.45 petang itu dipercayai berlaku apabila sebuah treler yang dipandu seorang lelaki tempatan melanggar bahagian belakang sebuah van yang dinaiki mangsa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan. – UTUSAN










