SHAH ALAM: DAP Selangor digesa menyemak nama ahli dewan undangan negeri (ADUN), ahli majlis dan ketua kampung yang didakwa tidak hadir pada Konvensyen DAP Selangor di sini, hari ini untuk diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Anthony Loke berkata, kehadiran perwakilan pada konvensyen berkenaan kurang memberangsangkan apabila terdapat banyak kerusi kosong ketika beliau berucap pada perhimpunan tersebut.
Katanya, perwakilan dalam kalangan ahli majlis yang tidak hadir perlu disenarai hitam dan tidak dibenarkan disambung.
“Kalau mana-mana ADUN tak hadir hari ini bagi nama kepada saya. Ini tanggungjawab asas. Kalau komitmen yang paling asas tak ada jangan cakap pasal perjuangan. Jangan cakap pasal nak jadi calon
“Kehadiran tidak begitu memberangsangkan kerana tak ada pemilihan parti. Kalau pemilihan parti tak payah cakap pun dewan penuh,” katanya di sini, hari ini.
Tegasnya, beliau bersedia mengambil pendirian tegas berhubung disiplin parti walaupun tindakannya mungkin tidak disenangi sesetengah pihak.
Selain itu, Anthony Loke turut memberi amaran bahawa mereka yang tidak menunjukkan komitmen terhadap parti tidak akan diberikan kerusi untuk bertanding pada pilihan raya akan datang, tanpa mengira pengaruh mereka dalam cawangan atau kalangan perwakilan.
“Kamu nak pakai cawangan, nak pakai perwakilan nak jatuhkan saya buatlah sesuka hati kamu. Tetapi saya akan pastikan orang yang tak ada komitmen, tidak diberikan kerusi,” ujarnya. – UTUSAN











