KUALA LUMPUR: Kerajaan belum membuat keputusan berhubung peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan meskipun sudah menerima surat rasmi daripada Setiausaha Agung DAP itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau memerlukan masa untuk meneliti perkara berkenaan dan berbincang sebelum membuat sebarang keputusan.
Menurutnya, tiada keperluan untuk beliau tergesa-gesa menerima peletakan jawatan berkenaan walaupun Loke memaklumkan keputusan itu berkuat kuasa.
“Beri tempoh untuk saya bincang dan meneliti semula. Saya belum menerima peletakan jawatan (Loke).
“Saya sudah menerima surat dan beliau berkata (peletakan jawatan) berkuat kuasa, tetapi saya tentunya akan mengambil masa untuk meneliti dan tidak ada keperluan untuk kita tergesa-gesa,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika mengulas perkembangan peletakan jawatan Loke daripada Kabinet susulan keputusan yang diumumkan Setiausaha Agung DAP itu sebelum ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa penerimaan surat berkenaan tidak bermakna kerajaan sudah membuat keputusan muktamad mengenai kedudukan Loke dalam Kabinet.
Sehubungan itu, kedudukan Loke sebagai Menteri Pengangkutan masih menunggu pertimbangan dan keputusan Perdana Menteri. – UTUSAN









