PETALING JAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melalui Kementerian Pengangkutan mengekalkan tindakan kompaun sebanyak RM100,000 terhadap Rapid Rail Sdn. Bhd. (RRSB) atas kesalahan di bawah Seksyen 101(10) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
APAD memaklumkan, tindakan punitif itu dikenakan susulan insiden pada 24 Mei 2021 kira-kira pukul 8.47 malam di Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) KLCC menghala ke Stesen LRT Kampung Baru.
“Kejadian berpunca daripada kepincangan penyelenggaraan apabila RRSB selaku pengendali berlesen gagal memastikan jajaran kereta api berada dalam keadaan selamat untuk operasi sehingga menyebabkan limb rail tidak dapat dibaca di kedua-dua arah.
“Keadaan tersebut mengakibatkan kegagalan pengendalian tren secara selamat dan membawa kepada insiden yang melibatkan 213 penumpang dengan 65 daripadanya cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
APAD berkata, keselamatan operasi pengangkutan awam darat merupakan keutamaan tertinggi dan tidak boleh dikompromi dalam apa juga keadaan.
Katanya, tindakan penguatkuasaan itu bertujuan memastikan pematuhan undang-undang serta sebagai peringatan tegas kepada semua pengendali perkhidmatan kereta api.
“Ia bagi memastikan penyelenggaraan sentiasa dilaksanakan mengikut piawaian teknikal ditetapkan serta latihan mencukupi diberikan kepada kakitangan terlibat,” katanya.
Tambah APAD, keputusan mengenakan kompaun tersebut turut mengambil kira kepentingan awam serta prinsip akauntabiliti bagi memastikan integriti sistem pengangkutan kereta api negara terus terpelihara.
“APAD akan terus komited memperkukuh aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan setiap pengendali mematuhi sepenuhnya keperluan perundangan, operasi dan standard keselamatan yang telah ditetapkan,” katanya. – UTUSAN










