MUKADIMAH
INSIDEN kemalangan terutama melibatkan pengangkutan awam seperti tren, lori dan pelbagai jenis kenderaan banyak mencetuskan kemarahan orang ramai. Apatah lagi dalam era perubahan pesat industri berkaitan.
Antara pihak yang sering dipertanggungjawabkan ialah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang kini diketuai oleh AHMAD RADHI MAAROF yang baru sahaja dilantik sebagai Ketua Pengarah APAD awal tahun ini.
Beliau berdepan cabaran baharu termasuk perkembangan teknologi, kemunculan model perniagaan digital serta keperluan memperkukuh sistem kawal selia agar sentiasa relevan.
Ikuti temubual wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan OMAR ZIN serta jurufoto MOHD. FIRDAUS JOHARI di pejabat APAD di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur baru-baru ini.
UTUSAN: Apakah bidang kuasa APAD sebenarnya jika dibandingkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Adakah berlaku pertindihan tugas antara kedua-dua agensi?
AHMAD RADHI: Tanggungjawab utama APAD adalah mengawal selia sektor pengangkutan awam dan kenderaan perdagangan, khususnya dari aspek pelesenan pengendali serta pelesenan kenderaan. Ini melibatkan dua elemen yang berbeza, iaitu pelesenan terhadap pengendali perkhidmatan dan pelesenan kenderaan yang digunakan.
Manakala JPJ pula bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan di lapangan. Sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang atau syarat lesen semasa operasi di jalan raya, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan oleh JPJ.
Justeru, tidak berlaku pertindihan kuasa kerana kedua-dua agensi menjalankan fungsi yang berbeza di bawah peruntukan undang-undang yang berasingan. APAD melaksanakan tanggungjawabnya di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), manakala JPJ melaksanakan fungsi penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta turut mempunyai kuasa tertentu di bawah Akta 715.
Semakin banyak perkhidmatan pengangkutan yang ditawarkan ketika ini termasuk dalam talian, adakah tugas APAD juga semakin bertambah?
Skop tanggungjawab APAD sentiasa berkembang. Sebagai contoh, sektor p-hailing kini melibatkan lebih 200,000 kenderaan. Sekiranya sektor ini dilesenkan di bawah APAD pada masa hadapan, sudah tentu ia akan menambah lagi skop kawal selia dan beban tugas agensi.
Oleh itu, APAD perlu terus diperkasakan, sama ada dari segi penambahan sumber manusia, kapasiti operasi mahupun peruntukan, supaya kami dapat melaksanakan fungsi kawal selia dengan lebih berkesan selaras dengan perkembangan industri pengangkutan darat.
P-hailing bakal dilesenkan. Sejauh mana perkembangan terbaru ke arah usaha tersebut?
Fokus kami ketika ini adalah mengumpul data daripada penyedia perkhidmatan sedia ada bagi memahami saiz sebenar industri ini, termasuk jumlah kenderaan, pemandu serta model operasi yang terlibat.
APAD telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pemain industri bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas. Hasil daripada sesi tersebut, kami sedang membangunkan draf peraturan, namun ia masih di peringkat penyediaan dan belum dimuktamadkan.
Antara perkara yang sedang dipertimbangkan ialah syarat-syarat pelesenan, termasuk aspek komisen yang dikenakan oleh platform p-hailing kepada penghantar.
Sebagai contoh, dalam sektor e-hailing, kerajaan tidak mengawal kadar tambang yang dikenakan kepada pengguna, tetapi menetapkan had maksimum komisen yang boleh diambil syarikat e-hailing, iaitu 20 peratus.
Bagi sektor p-hailing, pendekatan yang sama sedang dikaji. Antaranya termasuk menetapkan parameter berkaitan kadar komisen atau amaun yang boleh diambil oleh syarikat p-hailing. Walau bagaimanapun, semua perkara ini masih di peringkat penelitian dan belum dimuktamadkan.
Bagaimana APAD menentukan kriteria sebelum memberi kebenaran dan meluluskan hab pengangkutan rasmi melibatkan bas ekspres?
Untuk perkhidmatan bas ekspres, mereka hanya boleh berhenti di terminal yang dilesenkan. jadi nak lesenkan itu kita akan tentukan di mana.
Ada beberapa di Lembah Klang seperti Gombak dan Terminal Bersepadu Selatan tetapi ada permintaan untuk hab lebih kecil khusus untuk perjalanan dari Singapura.
Kerajaan tetapkan dasar untuk hab bas ini dengan skala kecil supaya tidak menjejaskan matlamat asal pembangunan pengangkutan awam di Lembah Klang untuk mengurangkan kesesakan dalam bandar. Hab ini disambungkan dengan perkhidmatan seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT).
Jadi, bila ada yang tanya kenapa kita tidak benarkan hab pengangkutan di hotel walaupun hotel beri kebenaran, kita nak kurangkan kesesakan di bandar.
Tetapi sebab ada permintaan tinggi, maka kerajaan beri terminal khusus di Lalaport, di One Utama dan di IOI Putrajaya. Ketiga-tiga ini untuk laluan Singapura.
Sejauh mana APAD mengurus selia serta melaksanakan penguatkuasaan?
Industri yang dikawal selia oleh APAD sangat luas dan melibatkan pelbagai kategori pengangkutan.
Bagi sektor bas ekspres, terdapat lebih 180 syarikat yang mengendalikan kira-kira 3,000 buah bas. Bagi sektor pengangkutan barangan, terdapat sekitar 300,000 kenderaan yang berada di bawah ekosistem industri ini.
Dari segi pelesenan, APAD mengawal selia beberapa kategori. Antaranya Lesen Pembawa A bagi syarikat yang menjalankan perkhidmatan pengangkutan untuk mengambil upah dan Lesen Pembawa C iaitu syarikat yang mengangkut barangan milik sendiri.
Sebagai contoh, sebuah syarikat penternakan atau pemprosesan ayam yang menggunakan lori untuk menghantar produknya ke pusat pengedaran sendiri memerlukan Lesen Pembawa C.
Bagi kenderaan barangan dengan berat di bawah 7.5 tan, permit APAD tidak diperlukan. Namun bagi kategori yang tertakluk kepada pelesenan, terdapat beberapa peringkat yang perlu dipenuhi.
Apakah hasil siasatan APAD terhadap insiden tren LRT tergelincir landasan berhampiran Stesen Chan Sow Lin baru-baru ini?
Kes tersebut masih berada di peringkat siasatan dan adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan.
Walau bagaimanapun, sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran syarat lesen pengendali atau mana-mana peruntukan di bawah bidang kuasa APAD, tindakan penguatkuasaan boleh diambil, termasuk mengenakan kompaun sehingga RM500,000, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Secara umumnya, insiden tren tergelincir kebanyakannya berlaku di kawasan depot dan tidak melibatkan gangguan kepada operasi perkhidmatan mahupun keselamatan penumpang kerana ia berlaku di luar laluan perkhidmatan.
Bagi tahun ini, hanya satu insiden tren tergelincir yang melibatkan operasi perkhidmatan direkodkan, iaitu kejadian di Chan Sow Lin.
Bagaimana APAD boleh ditambah baik dalam aspek penguatkuasaan dan pemantauan terhadap sektor kenderaan berat pada masa akan datang?
APAD memerlukan penambahan perjawatan bagi memastikan kapasiti agensi sentiasa seiring dengan perkembangan industri dan teknologi. Fungsi serta tanggungjawab APAD hari ini jauh berbeza berbanding ketika agensi ini ditubuhkan beberapa tahun lalu.
Sebagai contoh, kemunculan platform digital dan aplikasi penyedia perkhidmatan pengangkutan seperti e-hailing dan p-hailing telah mengubah model perniagaan industri secara ketara.
Perkembangan ini mewujudkan cabaran baharu dari sudut kawal selia yang memerlukan kepakaran serta sumber manusia yang mencukupi.
Justeru, APAD perlu terus diperkasakan melalui penambahan perjawatan dan peningkatan kapasiti organisasi agar dasar serta kerangka kawal selia dapat dibangunkan secara lebih proaktif, bukannya hanya bertindak selepas sesuatu perubahan berlaku.
Matlamatnya ialah memastikan peraturan sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi dan mampu menyokong pertumbuhan industri secara selamat, cekap dan mampan. – UTUSAN










