PUTRAJAYA: Kerja-kerja menaik taraf klinik-klinik daif di Sabah kini mencapai kira-kira 70 peratus siap, manakala baki 30 peratus lagi sedang dalam pelaksanaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, proses naik taraf klinik berkenaan bukan perkara baharu sebaliknya ia dimulakan sejak tahun 2018.
Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 154 buah klinik telah selesai dinaik taraf membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM76.28 juta.
“Ia membabitkan 27 klinik pada tahun 2023 dengan peruntukan RM10.8 juta, 65 klinik (RM21.5 juta) pada 2024 dan 62 klinik (RM 43.98 juta) pada tahun ini.
“Saya sering turun padang ke Sabah malah telah melawat negeri itu sebanyak tujuh kali termasuk lawatan ke puluhan fasiliti kesihatan bagi menilai sendiri keadaan klinik, terutama yang masih menggunakan struktur kayu.
“Usaha menaik taraf klinik daif bukan bermula baru-baru ini, sebaliknya telah dilaksanakan sejak 2018, dan diteruskan secara berfasa sehingga kini.
“Bagi tahun ini sahaja, empat klinik di Sabah sedang dinaik taraf, manakala secara keseluruhan sebanyak 27 fasiliti kesihatan termasuk Klinik Kesihatan (KK) dan Klinik Desa (KD) telah menjalani pembaikan dan penambahbaikan,” katanya selepas menyempurnakan Program Jelajah Wira MADANI sempena sambutan Jubli Perak, Ulang Tahun Ke-25 Hospital Putrajaya (HPj) di sini hari ini.
Katanya, kerajaan komited menggantikan klinik-klinik kayu kepada struktur baharu menggunakan prototaip klinik desa moden, lengkap dengan kemudahan asas termasuk rawatan ibu dan anak.
Dr Dzulkefly berkata, setiap klinik desa baharu dibina dengan anggaran kos sekitar RM1 juta dan sudah mengaplikasikan elemen digitalisasi asas.
Menurutnya, fasa seterusnya termasuk klinik-klinik yang belum tersenarai akan dilaksanakan mulai 2026 dan seterusnya, bergantung kepada peruntukan semasa.
Terdahulu, Dr Dzulkefly dalam ucapannya berkata, sambutan Jubli Perak ini istimewa kerana HPj telah telah diiktiraf sebagai salah sebuah World’s Best Hospital 2025 oleh
Newsweek dan Statista. – UTUSAN










