PETALING JAYA: Proses pelesenan dan kawal selia di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) sedang disemak semula bagi menangani kebimbangan industri berhubung kelewatan perkhidmatan serta peningkatan kos di fasiliti swasta.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia bertujuan memperkemas prosedur memandangkan tempoh proses yang panjang boleh meningkatkan kos operasi yang akhirnya ditanggung pesakit.
“Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri-menteri mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Bank Negara Malaysia (BNM) serta ketua pegawai eksekutif hospital swasta.
“Kami sedang menyemak semula proses pelesenan dan kawal selia di bawah Akta 586 kerana mengambil kira kebimbangan industri bahawa tempohnya terlalu lama dan menyumbang kepada peningkatan kos yang akhirnya ditanggung pesakit,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut mempelawa semua hospital swasta untuk bekerjasama sebagai penyedia Tahap 1 bagi Pelan Asas Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) serta menyertai projek rintis yang akan dilaksanakan secara berperingkat di Lembah Klang bermula Julai ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ketua pegawai eksekutif hospital swasta atas komitmen menyalurkan data yang diperlukan dengan segera bagi membolehkan pelaksanaan Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG) secara berperingkat untuk pembayaran bermula Januari 2027 di penyedia Tahap 1.
“DRG mampu meningkatkan ketelusan dan keboleh ramalan harga, selain memudahkan peralihan daripada model bayaran berasaskan perkhidmatan kepada penjagaan kesihatan berasaskan nilai serta memberi tumpuan kepada hasil kesihatan.
“Kesihatan digital merupakan pengupaya penting merentasi keseluruhan sistem dan kami bersedia menghubungkan sistem awam serta swasta di bawah rangka kerja tadbir urus data yang memastikan individu mempunyai kawalan terhadap data mereka,” katanya.
Katanya, semua pihak turut dipelawa menyertai Rangkaian Pensijilan Kesihatan Digital Malaysia (MDHCN) serta berkongsi pengimejan radiologi bagi mengelakkan ujian berulang, sekali gus mengurangkan kos.
“Di negara ini, sektor awam dan swasta saling melengkapi dengan meluaskan akses serta pilihan.
“Seiring dengan transformasi pembiayaan kesihatan yang semakin pesat, pendekatan ‘Whole-of-Nation Approach’ menjadi penanda aras ketika usaha memperluas transformasi melangkaui inflasi perubatan sektor swasta kepada transformasi keseluruhan sistem,” katanya. – UTUSAN










