KANGAR: Kedudukan Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar susulan penggantungan keahlian dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan bergantung di tangan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas.
Abu Bakar menegaskan, enam ADUN berkenaan perlu menghormati titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang sebelum ini mahu pentadbiran kerajaan negeri kekal sehingga akhir penggal.
Beliau turut mengingatkan agar pentadbiran kerajaan negeri tidak diganggu gugat dengan sebarang usaha undi tidak percaya khususnya ketika menjelang pembentangan Belanjawan Perlis 2027 yang dijadual bulan depan.
“Nasib saya (kekal Menteri Besar) bukan di tangan enam ADUN Pas ini. Jangan ganggu gugat pentadbiran khususnya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika pembentangan belanjawan. Kelulusan Belanjawan Perlis 2027 penting demi kepentingan negeri dan rakyat.
“Keputusan penggantungan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah urusan parti yang tidak ada kena mengena dengan pentadbiran kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri juga telah merencana pelbagai projek pembangunan berimpak dan jangan ganggu gugat pentadbiran. Nak desak apa-apa, tunggu Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan dilaporkan berkata, kedudukan Abu Bakar sebagai Menteri Besar susulan penggantungan keahlian Bersatu selama dua penggal pemilihan bergantung kepada pendirian enam ADUN Pas di negeri ini.
Rus’sele berkata, pentadbiran kerajaan negeri bagaimanapun berjalan seperti biasa walaupun Abu Bakar berdepan isu berkenaan.
Sementara itu, bekas Speaker DUN Perlis, Datuk Hamdan Bahari berkata, penggantungan keahlian Abu Bakar daripada Bersatu adalah urusan dalaman parti dan tidak memberi kesan kepada kedudukan Menteri Besar.
Katanya, pelantikan dan pengguguran jawatan Menteri Besar tertakluk kepada kuasa yang termaktub di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis, bukan ditentukan secara mutlak oleh keputusan parti politik.
“Menteri Besar adalah jawatan lantikan oleh Raja Perlis yang berasaskan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Menteri Besar hanya boleh digugurkan menerusi beberapa cara, antaranya undi tidak percaya di dalam DUN sekiranya hilang sokongan majoriti dan mendapat perkenan Raja Perlis.
“Percubaan menukar pentadbiran hanya berlaku jika wujud perubahan rasmi. Kalau dilihat senario semasa, kedudukan Abu Bakar masih stabil kerana tidak ada pergerakan atau peralihan sokongan rasmi berlaku, khususnya daripada kem Pas mahupun ADUN-ADUN.
“Proses untuk menukar kepimpinan juga bukan satu langkah mudah kerana ia turut melibatkan kebergantungan wakil rakyat terhadap kestabilan politik negeri, kewangan dan komitmen terhadap pengundi di kawasan masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, jika dipecat daripada Bersatu sekali pun, nasib Abu Bakar sebagai Menteri Besar tidak akan berubah.
“Malah, setakat ini, tidak nampak sebarang usaha daripada ADUN-ADUN Pas untuk membuat undi tidak percaya dan ia juga bagi menghormati titah Raja Perlis,” katanya.
Pada 3 Jun lalu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah mahu Abu Bakar selaku Menteri Besar diberikan ruang untuk terus memimpin Perlis sehingga tempoh penggal DUN berakhir. – UTUSAN











