Nur Aishah bukan hanya ajar bercakap

Nur Aishah bukan hanya ajar bercakap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerjaya ahli terapi pertuturan bukan sekadar mengajar kanak-kanak bercakap, sebaliknya menuntut kesabaran dan komitmen. Bagi Nur Aishah Kassim, rasa ingin tahu membawanya menceburi bidang itu hampir 20 tahun lalu.

Buka pusat intervensi bantu anak-anak istimewa

Ramai menganggap kerjaya sebagai ahli terapi pertuturan (speech therapist) sekadar membantu kanak-kanak menyebut perkataan atau belajar bercakap, sedangkan bidang ini memerlukan kesabaran serta proses intervensi yang panjang dan kompleks.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bukan mudah untuk menceburi bidang ini apabila berdepan cabaran menguruskan kanak-kanak, memberi kefahaman kepada ibu bapa serta menyesuaikan tuntutan kerjaya dengan kehidupan keluarga.

Bagi Nur Aishah Kassim, bidang yang pada awalnya dipilih kerana rasa ingin tahu itu akhirnya menjadi kerjaya yang diceburinya selama hampir 20 tahun.

Berasal dari Gerik, Perak, dan kini menetap di Kajang, Selangor, Nur Aishah pada awalnya tidak pernah terfikir untuk menjadikan juruterapi pertuturan sebagai kerjaya.

Minat terhadap bidang kesihatan sudah ada selepas tamat matrikulasi apabila dia mempertimbangkan beberapa pilihan termasuk perubatan, optometri, dietetik dan bioperubatan.

Namun, ketika mengisi borang permohonan secara manual, dia tertarik dengan satu bidang yang namanya cukup asing baginya, iaitu Sains Pertuturan.

“Saya memang minat bidang kesihatan. Masa itu saya nampak Sains Pertuturan dan tertanya-tanya, kursus ini apa sebenarnya sebab kursus lain lebih jelas.

“Saya tanya orang dan kakak saya yang berada di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberitahu bidang ini berkaitan dengan kanak-kanak berkeperluan khas dan pertuturan,” katanya kepada Seri.

Tanpa mengetahui dengan jelas skop pengajian mahupun kerjaya tersebut, Nur Aishah tetap menyenaraikan Sains Pertuturan dalam pilihan dan akhirnya diterima masuk.

Pada awal pengajian, dia mula menyedari bidang berkenaan bukan sekadar mempelajari cara membantu seseorang bercakap.

Selain anatomi dan fisiologi, Nur Aishah turut mempelajari perkembangan kanak-kanak dan pertuturan, linguistik, pragmatik, akustik, frekuensi bunyi serta dialek di Malaysia.

Pengalaman menjalani latihan klinikal kemudiannya membantu dia memahami kaitan antara ilmu yang dipelajari dengan tugas sebenar.

Bukan sekadar ajar bercakap

Nur Aishah berkata, tugas ahli terapi pertuturan bukan hanya membantu seseorang menyebut perkataan atau bercakap.

Hakikatnya, skop bidang berkenaan turut merangkumi diagnosis dan rawatan masalah berkaitan pertuturan, bahasa, komunikasi, suara serta fungsi makan dan menelan.

Bagi kanak-kanak, antara kes yang boleh dikendalikan termasuk kelewatan pertuturan, autisme serta keadaan tertentu yang menjejaskan keupayaan mereka untuk berkomunikasi.

Orang dewasa pula boleh mendapatkan bantuan bagi masalah seperti kesukaran bercakap atau memahami bahasa, termasuk selepas mengalami strok.

Walaupun skop bidang tersebut merangkumi kanak-kanak dan orang dewasa, Nur Aishah memilih untuk memberi tumpuan kepada bidang pediatrik, khususnya kanak-kanak berusia bawah enam atau tujuh tahun.

Pilihan itu dibuat kerana dia melihat peringkat awal kanak-kanak sebagai tempoh penting untuk membentuk asas perkembangan yang akan digunakan dalam kehidupan seterusnya.

Kemahiran tersebut bukan hanya melibatkan pertuturan, tetapi turut merangkumi komunikasi, bermain, bersosial, berkawan serta keupayaan mengawal emosi dan tingkah laku.

“Bila asas itu kukuh, ia akan membantu mereka untuk masuk sekolah, belajar dan menjalani kehidupan seterusnya dengan lebih baik,” katanya.

Cabaran bukan lagi pada anak

Sudah hampir dua dekad berada dalam bidang berkenaan, Nur Aishah berdepan dengan pelbagai situasi ketika mengendalikan kanak-kanak.

Pada peringkat awal kerjaya, antara cabaran yang perlu dihadapinya ialah mengurus tingkah laku anak yang menangis, mengamuk atau enggan mengikuti sesi terapi.

Namun, pengalaman serta pengetahuan yang diperoleh sepanjang berada dalam bidang tersebut membantu dia memahami cara menangani tingkah laku dan keperluan kanak-kanak.

Kini, cabaran yang lebih besar baginya ialah memberi kefahaman kepada ibu bapa mengenai proses intervensi yang perlu dilalui.

Menurut Nur Aishah, kebanyakan ibu bapa datang dengan matlamat yang sama, iaitu mahu melihat anak mereka bercakap.

Namun, sebelum mencapai matlamat tersebut, beberapa kemahiran asas perlu dibentuk terlebih dahulu.

“Kadang-kadang ibu bapa tanya, kenapa asyik main dengan anak, bila nak ajar bercakap?. Padahal dalam aktiviti bermain itu kita ajar kemahiran-kemahiran kecil yang diperlukan untuk membolehkan dia bercakap,” katanya.

Sebagai contoh, kanak-kanak yang belum mempunyai kontak mata atau kemahiran bermain mungkin perlu dibantu untuk menguasai kemahiran tersebut terlebih dahulu sebelum bergerak kepada kemahiran pertuturan yang lebih kompleks.

Atas sebab itu, penglibatan ibu bapa amat penting kerana intervensi tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada sesi bersama ahli terapi.

Pernah cuba bidang lain

Walaupun menyukai bidang ini, Nur Aishah pernah melalui fasa mahu mencuba sesuatu yang berbeza.

Dia pernah bekerja sebagai eksekutif jualan dan turut mencuba perniagaan makanan dengan menjual pau.

Fasa tersebut berlangsung tiga hingga lima tahun, namun pada masa sama dia masih menjalankan sesi terapi pertuturan kepada beberapa pesakit pada hujung minggu.

“Bukan sebab saya tak suka bidang ini. Saya masih suka. Cuma masa itu saya nak buat sesuatu yang lain,” ujarnya.

Akhirnya, dia kembali kepada bidang terapi pertuturan dan mula melihat ilmu yang dimilikinya sebagai sesuatu yang perlu dikongsi dengan lebih ramai orang.

Sekitar 2015 hingga 2016, Nur Aishah mula menghasilkan video serta kandungan berkaitan terapi pertuturan di media sosial, khususnya Facebook.

Pada awalnya, perkongsian tersebut dilakukan kerana dia seronok berkongsi ilmu dan mengajar ibu bapa mengenai perkembangan anak.

Namun, semakin ramai yang mengikuti perkongsiannya dan mula mengajukan soalan berkaitan masalah pertuturan serta perkembangan anak.

Daripada situ, Nur Aishah mengambil langkah seterusnya dengan menganjurkan kelas untuk ibu bapa, khususnya bagi memberikan panduan mengenai cara membantu anak di rumah.

Perkongsian secara dalam talian itu kemudiannya menjadi titik awal kepada usaha dia mengembangkan perkhidmatan secara lebih tersusun.

Bermula dengan RM1,000

Selepas dua hingga tiga tahun menganjurkan kelas, semakin ramai ibu bapa mula bertanya mengenai kelas secara langsung untuk anak mereka.

Situasi itu membuka ruang kepada Nur Aishah untuk mengembangkan perkhidmatan daripada sekadar perkongsian ilmu kepada intervensi secara bersemuka.

Pada hujung 2016, dia menemui sebuah premis di Jalan Reko, Kajang sebelum memulakan kerja pengubahsuaian.

Pusat tersebut mula beroperasi pada Januari 2017 dengan modal sendiri sekitar RM1,000.

Wang daripada pendaftaran awal ibu bapa digunakan untuk membantu menampung kos pengubahsuaian premis.

“Saya buka bisnes bukan dengan modal yang besar. Saya bermula dengan RM1,000 sahaja. Duit yang ibu bapa bayar untuk pendaftaran awal itu saya gunakan untuk buat pengubahsuaian,” jelasnya.

Pada peringkat awal, pusat tersebut hanya menawarkan kelas pada hujung minggu serta sesi secara individu dan menguruskan operasi sendiri tanpa kakitangan dan belum menyediakan kelas harian.

Permintaan yang semakin meningkat kemudian membawa kepada perkembangan baharu apabila kelas harian mula ditawarkan pada 2018.

Daripada hanya mengendalikan beberapa pelajar pada peringkat awal, pusat intervensi tersebut kini membantu lebih 200 hingga 300 pelajar dalam tempoh sebulan menerusi pelbagai kelas yang disediakan.

Perkembangan itu turut membawa kepada pembukaan tiga cawangan di Bangi, Kajang dan Shah Alam.

Buat masa ini, dia memilih untuk memberi tumpuan kepada kawasan Lembah Klang kerana pengurusan operasi lebih mudah sebelum perkhidmatan dikembangkan ke negeri lain selain menyasarkan untuk mempunyai 10 cawangan menjelang 2028.

Penat tidak padamkan semangat

Menguruskan kerjaya dan perniagaan dalam tempoh yang panjang sememangnya menuntut tenaga, namun kepenatan tidak pernah membuatkan Nur Aishah mahu meninggalkan bidang berkenaan.

Baginya, ilmu yang dimiliki mempunyai manfaat kepada keluarga yang memerlukan bantuan berkaitan perkembangan dan komunikasi anak.

“Penat itu penat, tetapi sebab saya ada matlamat jangka panjang nak bantu lebih ramai orang, rasa nak berhenti itu tak pernah ada,” katanya.

Pengalaman membina kerjaya dan perniagaan turut mengubah caranya melihat kehidupan dan dirinya sendiri.

Dia mengakui dirinya kini jauh berbeza berbanding ketika muda apabila pemikiran tidak lagi hanya tertumpu kepada kepentingan diri.

Pengalaman yang dilalui mengajarnya melihat sesuatu dari sudut yang lebih luas, termasuk mengambil kira keluarga, pelajar dan pasukan yang dibinanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini