PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) termasuk Pas dan Bersatu turut menghantar logo masing-masing untuk digunakan pada PRN Melaka.
Selain itu, Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus mengesahkan PN turut menghantar logo gabungan itu.
“Walaupun PN telah mengemukakan contoh lambang yang akan digunakan semasa PRN Melaka, komponen PN juga telah mengemukakan lambang parti masing-masing secara berasingan. Ia melibatkan semua parti, Pas, Bersatu dan lain-lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
5 Oktober lalu, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan parti itu akan menggunakan logo sendiri pada PRN Melaka.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 22 Oktober berkata, Bersatu masih anggota gabungan itu dan akan dipanggil menghadiri mesyuarat dalam masa terdekat.
Katanya, mesyuarat itu bagi menyusun strategi menghadapi PRN Melaka, manakala pembahagian kerusi masih belum dimuktamadkan.
Semalam, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pula memfailkan notis rayuan terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi yang menangguhkan pelaksanaan tindakan jabatan itu terhadap PN.
RoS membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober selepas mengeluarkan notis penggantungan semua aktiviti gabungan itu pada 22 September yang berkuat kuasa sehari kemudian.
PN bagaimanapun boleh bertanding menggunakan nama dan logonya pada PRN Melaka selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Oktober membenarkan permohonan menggantung pelaksanaan notis RoS.
Keputusan Hakim Datuk Azizan Md. Arshad itu menghalang RoS daripada menguatkuasakan penggantungan aktiviti atau memberi kesan kepada pembatalan pendaftaran PN sehingga semakan kehakiman diputuskan sepenuhnya.
Mahkamah pada peringkat itu belum memutuskan kesahihan tindakan RoS kerana perkara berkenaan masih tertakluk kepada penelitian dalam prosiding semakan kehakiman.
Penamaan calon PRN Melaka dijadual 31 Oktober ini, manakala pengundian 14 November. – UTUSAN











