CKD: Setiap hari 28 rakyat Malaysia dikesan perlu mula dialisis

CKD: Setiap hari 28 rakyat Malaysia dikesan perlu mula dialisis

CKD
DZULKEFLY Ahmad berucap pada Majlis Perasmian Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jumlah penghidap masalah buah pinggang kronik atau CKD di negara ini dilaporkan mencecah lima juta orang atau satu pertujuh daripada keseluruhan populasi kira-kira 36 juta rakyat Malaysia.

Peningkatan tersebut dilaporkan berlaku secara drastik sehingga 6.5 peratus berbanding 2011 sebanyak sembilan peratus kepada 15.5 peratus pada tahun lalu.

Malah, situasi tersebut didakwa memberi beban kepada kewangan kerajaan apabila dalam memberikan perkhidmatan kesihatan apabila kos bagi rawatan penyakit itu melonjak RM3.3 bilion pada setiap tahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata,ketika ini setiap hari seramai 28 orang rakyat Malaysia didiagnosis dengan kegagalan buah pinggang dan perlu memulakan rawatan dialisis.

“CKD adalah salah satu cabaran kesihatan terbesar generasi kita. Lebih lima juta rakyat Malaysia kini hidup dengan CKD, namun hanya lima peratus sahaja yang menyedarinya.

“Beban itu bukan sahaja meragut kualiti hidup, tetapi turut memberi impak kewangan yang maha hebat kepada negara. Pada tahun 2010, Malaysia membelanjakan RM572 juta untuk rawatan Penyakit Buah Pinggang Tahap Akhir.

“Jika kita gagal bertindak dengan berani pada hari ini, menjelang tahun 2040, lebih daripada 106,000 rakyat Malaysia akan memerlukan rawatan dialisis. Hakikatnya, we cannot dialyse our way out of a kidney crisis,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Beliau berkata, tema sambutan pada tahun ini, iaitu “Kesihatan Buah Pinggang untuk Semua – Menjaga Manusia, Melindungi Planet”, adalah sangat bertepatan dengan keutamaan kementerian dalam merangka sebuah sistem kesihatan yang inklusif,saksama, dan mampan.

Dzulkefly menambah, tahun lalu kementerian memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi rawatan dialisis pertoneal di fasiliti kerajaan yang meningkat kepada 42 peratus berbanding 36.6 peratus pada 2020.

Jelasnya, gula menjadi punca utama kepada peningkatan jumlah pesakit CKD dalam kalangan rakyat Malaysia yang sebahagian besarnya didorong oleh komplikasi penyakit kencing manis atau diabetes.

“Sebab itulah kementerian melancarkan ‘Kempen Perangi Gula’ secara besar-besaran. Kerajaan (juga) menaikkan kadar Cukai Minuman Bergula (SSB) kepada 90 sen seliter bermula 1 Januari 2025.

“Hasilnya, kutipan duti eksais minuman bergula pada tahun 2025 mencecah RM54.9 juta, dengan RM21 juta disalurkan kembali kepada KKM. Dana itu digunakan sepenuhnya untuk pembiayaan ubat Sodium-Glucose Transport Protein 2 (SGLT2) inhibitors, satu rawatan yang terbukti mampu merawat pesakit Diabetes Mellitus sekaligus mengurangkan risiko komplikasi CKD,” ujarnya.

Katanya lagi, rakyat Malaysia diseru supaya menggunakan kemudahan Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) dan Skim PeKa B40 yang disediakan secara percuma oleh kerajaan.

“Buatlah saringan, periksa tahap gula, dan jalani ujian buah pinggang. Jangan tunggu sehingga badan berasa sakit baru hendak ke klinik, kerana buah pinggang yang rosak selalunya menderita dalam diam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN