PETALING JAYA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober ini bagi memberi laluan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-13.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Yang di-Pertua Negeri Sarawak telah memperkenankan permohonan beliau untuk membubarkan DUN selaras dengan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak.
Katanya, langkah itu bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan dengan mandat baharu untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.
“Rakyat Sarawak mesti diberikan peluang untuk melaksanakan hak demokratik mereka bagi memilih kerajaan dengan mandat baharu untuk meneruskan agenda pembangunan Sarawak,” katanya semasa sidang akhbar khas di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, Kuching, semalam.
Abang Johari berkata, sehubungan itu, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran manakala DUN baharu hendaklah bersidang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh tersebut.
Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan mengenai pembubaran itu bagi membolehkan persiapan berkaitan dilaksanakan.
“Kerajaan akan menjalankan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara sepanjang tempoh berkenaan dengan mematuhi keperluan dan konvensyen berkaitan.
“Perkhidmatan penting akan diteruskan bagi memastikan keperluan serta kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada rakyat Sarawak atas kepercayaan dan sokongan sepanjang penggal ini, selain berterima kasih kepada ahli-ahli DUN serta pentadbiran kerajaan atas khidmat mereka.
Beliau turut menyeru semua pihak khususnya parti politik, calon dan penyokong supaya menghormati undang-undang serta bertindak dengan penuh tanggungjawab sepanjang tempoh pilihan raya.
“Marilah kita bersama-sama memelihara keamanan, perpaduan dan keharmonian Sarawak yang amat kita hargai, sekali gus membolehkan rakyat membuat pilihan mereka secara bebas,” katanya lagi.
DUN Sarawak ketika ini mempunyai 82 kerusi dan yang terbesar di negara ini.
Jumlah itu dijangka meningkat kepada 99 kerusi selepas SPR meluluskan persempadanan 17 kawasan baharu yang sudah diputuskan DUN Sarawak.
PRN Sarawak terakhir diadakan pada 18 Disember 2021, menyaksikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencatat kemenangan besar dengan memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
GPS kini menguasai 80 daripada 82 kerusi DUN di Sarawak. Ini setelah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti pembangkang yang telah dibubarkan secara rasmi 6 April lalu iaitu PSB menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP).
Kini hanya ada dua wakil pembangkang iaitu dari DAP dalam DUN dan seorang ADUN Bebas.
Pada 18 Disember ini, genap mandat lima tahun DUN Sarawak ke-12 tetapi tempoh kerajaan negeri pimpinan GPS sekarang hanya akan berakhir pada 14 Februari 2027, berdasarkan kiraan mulai sidang DUN pertama yang diadakan pada 14 Februari 2022.-UTUSAN.











