KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menghormati sepenuhnya keputusan pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berakhir semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tersebut membawa mesej yang tegas dan jelas bahawa rakyat Sabah mahukan pembaharuan.
“Mereka menuntut perubahan yang nyata setelah sekian lama dihadapkan dengan ketidakadilan dan pengabaian oleh hampir semua parti samada dari Semenanjung mahupun Sabah sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar berkata, sepanjang tiga tahun lalu, kerajaan telah berusaha merungkai pelbagai isu yang diwarisi, khususnya berkaitan tuntutan serta hak Sabah yang berpaksikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, tempoh singkat itu menyaksikan beberapa kemajuan penting dalam menunaikan perkara-perkara yang tertangguh selama bertahun-tahun.
“Alhamdulillah, beberapa langkah besar dalam agenda MA63 telah dicapai. Ini hasil usaha berterusan kita untuk mengembalikan apa yang sepatutnya menjadi hak Sabah,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan Madani akan kekal konsisten di landasan reformasi demi memastikan Sabah mencapai tahap keadilan, kesaksamaan dan kemakmuran yang wajar, selain memastikan negeri itu tidak lagi dipinggirkan dalam arus pembangunan negara.
“Suara rakyat Sabah adalah amanah yang mesti kita junjung dengan penuh tanggungjawab. Komitmen kita tidak akan berganjak,” katanya.
Perdana Menteri dalam pada itu menzahirkan ucapan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas mandat baharu pembentukan kerajaan negeri. – UTUSAN










