PETALING JAYA: Penamatan lebih awal tempoh perkhidmatan Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur disifatkan sebagai petanda jelas keperluan reformasi mendalam terhadap tatakelola Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keputusan menamatkan khidmat Maimunah sebelum kontraknya berakhir pada Ogos 2026 menimbulkan persoalan besar yang memerlukan penjelasan segera daripada Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, gangguan dalam struktur pentadbiran ibu negara tidak wajar berlaku tanpa alasan konkrit, lebih-lebih lagi ketika Kuala Lumpur berdepan pelbagai cabaran perancangan bandar, infrastruktur dan penyampaian perkhidmatan.
“Tempoh perkhidmatan Datuk Bandar tidak wajar dipendekkan tanpa alasan kukuh. Kerajaan mesti menjelaskan mengapa perubahan mendadak ini dianggap perlu,” katanya dalam satu kenyataan.
Nik Nazmi bagaimanapun yakin Maimunah akan terus menyumbang khidmat terbaik dalam peranan baharunya di Petronas.
Nik Nazmi berkata, isu tersebut sekali lagi mengangkat keperluan reformasi terhadap kaedah pentadbiran Kuala Lumpur, khususnya kerana warga kota masih tidak mempunyai suara dalam pentadbiran DBKL yang kini bergantung sepenuhnya kepada kuasa seorang Datuk Bandar yang dilantik.
Pada Ogos 2025, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah mengesyorkan agar pelantikan Ahli Majlis DBKL diwujudkan, selari dengan amalan kerajaan tempatan di negeri-negeri lain. Ketika itu, beberapa Ahli Parlimen Kuala Lumpur termasuk beliau turut mendesak pelaksanaan semula pilihan raya kerajaan tempatan.
“Saya kekal berpendirian bahawa pilihan raya kerajaan tempatan adalah langkah terbaik untuk meningkatkan akauntabiliti dan prestasi pentadbiran sebuah ibu kota yang telah mencapai status maju,” katanya.
Nik Nazmi berkata, manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum 2022 turut menekankan pendemokrasian serta pengukuhan penyertaan rakyat dalam struktur DBKL.
Nik Nazmi turut menolak dakwaan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan boleh mencetuskan ketegangan kaum sebagai alasan yang tidak berasas.
“Ramai tidak sedar bahawa masyarakat Bumiputera adalah kumpulan terbesar penduduk Kuala Lumpur, hampir separuh daripada jumlah keseluruhan. Maka alasan tersebut tidak lagi relevan,” katanya.
Sehubungan itu, Nik Nazmi menegaskan sudah tiada alasan munasabah untuk terus menangguhkan usaha mengembalikan mandat rakyat dalam pentadbiran Kuala Lumpur. -UTUSAN











