Kebersihan sebahagian iman

Kebersihan sebahagian iman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINAT dan kegilaan orang pada sukan bola sepak memang tidak dinafikan. Namun, sikap penonton Piala Dunia 2026 di Dataran Merdeka pada 20 Julai lalu mengecewa dan memalukan Malaysia.

Perbuatan membiarkan lokasi penuh bersejarah itu dipenuhi sampah-sarap amat dikesali dan tidak bertamadun. Ia juga menunjukkan tahap kesedaran sivik rakyat Malaysia berhubung aspek kebersihan masih di tahap menyedihkan.

Mungkin pandangan mereka, biarlah sampah di sana-sini kerana selepas ini ada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan petugas pembersihan akan membersihkannya.

DBKL dalam hantaran di Facebook miliknya berkongsikan keadaan lokasi bersejarah negara itu selepas ditinggalkan puluhan ribu peminat bola sepak yang menyaksikan aksi final Piala Dunia 2026 antara Sepanyol menentang Argentina pada awal pagi.

MASYARAKAT masih menganggap kerja membersihkan kawasan awam adalah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan atau pekerja pembersihan. – GAMBAR DBKL

Ini adalah manifestasi sebahagian orang kita. Masalah kita bukan kekurangan kemudahan atau tong sampah semata-mata. Sebaliknya, ia lebih berkait dengan sikap masyarakat yang masih menganggap kerja membersihkan kawasan awam adalah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan atau pekerja pembersihan.

Suasana ini jauh berbeza dengan di Jepun. Penyokong bola sepak Jepun amat mementingkan kebersihan dan ini dapat dilihat semasa penganjuran Piala Dunia Brazil 2014 dan Rusia 2018, pasukan Jepun mengutip sampah di stadium selepas perlawanan.

Malah, pemain Jepun meninggalkan bilik persalinan dalam keadaan bersih tanpa sebarang sampah dan ia pernah dipuji Penyelaras Besar FIFA, Priscilla Janssens dalam Twitternya.

Begitu juga perokok di negara matahari terbit itu diarahkan membawa bersama bekas abu rokok untuk mengelak puntung rokok dibuang merata-rata.

Dalam Islam, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bersuci (kebersihan) itu adalah sebahagian daripada iman. (Riwayat Muslim)

Apakah peranan kita?
Islam dan kebersihan tidak dapat dipisahkan. Apabila disebut Islam maka tergambarlah kebersihan sebagai salah satu ciri utamanya. Malah, dalam pengajian bab fikah ibadat, bab pertama yang dipelajari adalah tentang taharah (bersuci).

Ia merangkumi bab mensucikan diri daripada hadas kecil dan besar serta bab air mutlak dan sebagainya. Semua ini menunjukkan betapa Islam amat memberi perhatian kepada bab kebersihan. Malah bukan sahaja bersih tetapi ditambah dengan aspek kesucian.

Allah juga berfiman yang menekankan tentang hal ini. Antaranya firman Allah yang bermaksud: “Bersihkan diri kamu daripada dosa dan pakaian kamu daripada najis dan kotoran.” (al-Muddathir: 4)

Seterusnya perintah supaya orang Islam menjaga kebersihan wujud dalam satu daripada lima syarat sah solat suci daripada najis dan hadas. Apa yang menarik ialah perintah berwuduk sebagai proses membersihkan diri sebelum kita solat menghadap Allah SWT.

Dalam pada itu, Nabi SAW bersabda yang bemaksud: “Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak (membersihkan mulut) pada setiap sembahyang.” (Riwayat Bukhari)

Makna hadis “kalaulah tidak menyusahkan umatku” menunjukkan ia perkara sunat yang disukai. Ini kerana ia dapat menghilangkan bau mulut dan sentiasa bersih ketika hendak bermunajat kepada Allah SWT.

Antara sunat-sunat hari jumaat ialah berwangi-wangian, memakai pakaian yang terbaik termasuklah amalan bersiwak (Lihat: Syarh Sahih al-Bukhari lbn Battal (2/486).

Dalam sebuah hadis lain, baginda SAW menjamin pahala kepada sesiapa yang membuang kotoran daripada jalan. Ia sebagaimana sabda NAbi SAW yang bermaksud: “…dan kamu menyingkirkan perkara-perkara yang boleh menyusahkan pengguna jalan merupakan sedekah yang diberi pahala”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Membicarakan bab kebersihan akan mengingatkan kita kepada seorang tokoh ulama kelahiran Mesir iaitu Sheikh Muhammad Abduh atau nama penuhnya Muhammad bin Abduh bin Hasan Khairullah (1849 dan meninggal 1905). Beliau adalah tokoh pembaharu (Islah) dan pemikir Islam terkemuka dari Mesir.

Semasa di Perancis, yang jumlah muslimnya sangat sedikit, beliau melihat negara ini begitu rapi, disiplin dan bersih. Ia jauh berbeza dengan pemandangan di tempat kelahirannya, Mesir.

Di Mesir, yang majoriti penduduknya orang İslam, jauh ketinggalan berbanding Perancis.

Dalam hal ini, beliau menukilkan ungkapan yang masyhur: “Aku pergi ke negara Barat, aku melihat Islam namun tidak melihat orang muslim. Dan aku pergi ke negara Arab, aku melihat orang muslim namun tidak melihat İslam”.

Justeru apakah sikap dan peranan kita sebagai umat Islam terhadap amalan kebersihan? Adakah budaya hidup kita selari dengan hakikat Islam itu agama kebersihan?

Malah, Malaysia juga dikenali sebagai negara yang mengamalkan Islam dalam pentadbirannya. Menurut Perlembagaan juga, Islam adalah agama bagi Persekutuan.

Mengapa Jepun bersih?
Pada 2019, penulis Travel BBC, Steve John Powell dan Angeles Marin Cabello merungkai rahsia di sebalik amalan yang dilaksanakan Jepun.

Para pelajar duduk di meja masing-masing dan menunggu loceng sekolah untuk pulang ke rumah selepas tujuh sesi kelas berdurasi 50 minit setiap kelas. Mereka dengan sabar mendengar beberapa pengumuman guru kelas tentang jadual esok.

Seperti rutin harian, kata-kata akhir guru: “Wahai pelajar semua jadual pembersihan hari ini, barisan satu dan dua akan membersihkan bilik darjah manakala barisan ketiga dan keempat koridor dan tangga sekolah dan barisan kelima akan membersihkan tandas” sebelum keluhan muncul dari pada murid-murid barisan kelima itu.

Tetapi kanak-kanak itu bangun dan merebut mangkuk, kain dan baldi dari almari penyapu di belakang bilik darjah dan bergerak ke tandas untuk memulakan kerja pembersihan dan senario ini berlaku di sekolah seluruh negara itu.

Kebanyakan pengunjung kali pertama ke Jepun akan tersentak dengan tahap kebersihan negara matahari terbit ini, apatah lagi tiada tong sampah dan penyapu di tempat awam.

Dalam satu lagi senario, sekitar 8 pagi setiap hari, pekerja-pekerja pejabat dan kedai akan membersihkan kaki lima dan jalan di hadapan tempat bekerja masing-masing sebagai tanggungjawab sivik.

Kanak-kanak pula menjadi sukarelawan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan komuniti seperti mengutip sampah di jalan-jalan berhampiran sekolah.

Di satu peringkat, warga Jepun juga tidak merenyukkan wang kertas, sebaliknya melipatnya dengan kemas. Pekerja hotel, pekedai dan pemandu teksi juga tidak memberi wang pada tangan seseorang tetapi diletakkan di dalam dulang khas.

Kerja-kerja membersih dan memasak dianggap sebagai satu latihan spiritual atau keagamaan oleh rakyat Jepun dalam kehidupan harian yang wajib dilaksanakan.

Justeru, kita sebagai orang Islam sepatutnya lebih ke depan dalam bab menjaga kebersihan. Sebabnya, memang banyak perintah Allah dan sabda Nabi Muhammad SAW yang mengajar kita untuk menjaga kebersihan. Kebersihan bukan sahaja bersih diri tetapi merangkumi persekitaran.

Kita juga dilarang merosak atau memusnahkan alam ciptaan Allah. – UTUSAN

MOHAMMAD Radzi Mohd. Zin
ialah Pengarang Berita Kanan
Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN