KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mewujudkan Pusat Kawalan Kecerdasan Buatan (AI) bagi mengoptimumkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan, termasuk mengawal tempoh lampu isyarat secara lebih pintar.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui berkata, teknologi itu membolehkan DBKL menganalisis corak trafik secara masa nyata bagi memastikan perjalanan lebih lancar sekaligus mengurangkan kesesakan di jalan utama.
“Bagi mengurangkan kesesakan jalan raya, kita sudah melaksanakan lampu isyarat AI dan menggunakan pengiraan AI untuk mengenal pasti tempoh perjalanan.
“Ini bukan lagi seperti dahulu, berapa minit lampu merah dan berapa minit lampu hijau, sebaliknya ia berdasarkan keadaan trafik semasa.
Pelaksanaan sistem pintar itu merupakan antara inisiatif strategik yang digariskan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 bagi meningkatkan kecekapan pengurusan trafik bandar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai cadangan kerajaan memastikan laluan pejalan kaki berbumbung menghubungkan kawasan perumahan seperti flat dan pangsapuri dengan kemudahan awam termasuk Pusat Transformasi Bandar (UTC) serta pengangkutan awam.
Su Fui berkata, DBKL menyediakan pelan penyuraian trafik yang akan dilaksanakan secara berfasa sebagai langkah mengatasi kesesakan di laluan utama Sentul dari Balai Polis Sentul ke Pasar Sentul
Katanya, pelan itu turut menjadi syarat dalam perintah pembangunan bagi plot pembangunan di kawasan berkenaan.
“Antara langkah yang dirancang ialah pelebaran Jalan Sentul berhampiran Pasar Sentul daripada dua kepada tiga lorong bagi meningkatkan kapasiti jalan serta melancarkan pergerakan trafik.
“Selain itu, DBKL turut menyediakan petak parkir tambahan di hadapan Lot 202 bagi mengurangkan masalah parkir haram di bahu jalan yang dikenal pasti menyumbang kepada kesesakan.
“DBKL akan mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan yang meletakkan kenderaan secara haram di bahu jalan, terutama berhampiran kemudahan awam seperti Pasar Sentul dan sekolah yang menyebabkan kesesakan, khususnya pada waktu puncak,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan P Prabakaran (PH-Batu) berhubung langkah mengatasi kesesakan di laluan utama Sentul dari Balai Polis Sentul ke Pasar Sentul. – UTUSAN










