KUALA LUMPUR: Lebih 1,700 keluarga di Perumahan Awam (PA) Seri Sarawak dan PA Jalan Loke Yew menerima manfaat menerusi pelaksanaan pelbagai projek penyelenggaraan serta penaiktarafan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
DBKL berkata, projek berkenaan dilaksanakan secara berfasa dan berterusan bagi meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan serta kebolehdiaman persekitaran kediaman penghuni.
“Lawatan tersebut memberi tumpuan kepada projek utama yang telah dan sedang dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan serta kebolehdiaman persekitaran kediaman penghuni,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut DBKL, PA Seri Sarawak yang mempunyai 768 unit kediaman menerima kerja transformasi visual dan infrastruktur membabitkan pengecatan semula bangunan serta turapan jalan dengan kos RM2.66 juta.
Katanya, sistem janakuasa dan elektrik turut dinaik taraf menerusi penggantian janakuasa tunggu sedia serta penaiktarafan kabel sub utama dengan peruntukan RM2.5 juta.
“Bagi memperkukuh aspek keselamatan, kerja penggantian paip penaik kering dan paip penaik basah turut dilaksanakan dengan kos RM375,000,” katanya.
Sementara itu, PA Jalan Loke Yew yang menempatkan 1,007 unit kediaman menerima kerja pengecatan semula bangunan bernilai RM4.14 juta.
Sistem janakuasa dan elektrik di perumahan berkenaan turut dinaik taraf menerusi penggantian janakuasa serta kabel subutama dengan kos RM3.2 juta.
DBKL berkata, kerja penggantian paip penaik kering dan paip penaik basah bagi meningkatkan tahap keselamatan kebakaran turut dilaksanakan dengan kos RM473,000.
“Pelaksanaan projek ini bukan sahaja memberi wajah baharu kepada kawasan perumahan, malah meningkatkan tahap keselamatan, kebolehpercayaan sistem utiliti serta keselesaan penghuni dalam menjalani kehidupan seharian,” katanya.
Selain projek naik taraf, DBKL turut meneruskan kerja penyelenggaraan berkala melibatkan jalan dalaman, taman permainan kanak-kanak, sistem pencahayaan, lif serta pengurusan aduan dan pemeriksaan kemudahan.
Katanya, usaha itu bagi memastikan aset perumahan awam di ibu negara terus dipelihara dan dipertingkatkan sejajar dengan keperluan semasa.
Pelaksanaan projek itu ditinjau Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bersama Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dalam lawatan ke kedua-dua perumahan awam berkenaan, hari ini. – UTUSAN










