Enam kolam takungan DBKL tiada unsur rasuah, ceroboh

Enam kolam takungan DBKL tiada unsur rasuah, ceroboh

HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada unsur rasuah, penyelewengan serta salah-guna kuasa ditemui di dalam proses pemberimilikan serta perintah pembangunan enam kolam takungan banjir sebagaimana yang telah diberikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pemaju.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pihak SPRM mendapati perizaban kolam takungan banjir tersebut telah diluluskan sejak 19 Jun 1998, namun proses pewartaan masih belum dilaksanakan semasa pemberimilikan tanah berkenaan.

Katanya, pada 9 Oktober 2015, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) telah bersetuju membatalkan kelulusan perizaban yang diluluskan pada 19 Jun 1998 bagi membolehkan kelulusan pemberimilikan seluas 80 ekar diberikan pemaju untuk pembangunan bercampur dengan pengenaan premium berjumlah RM214 juta.

“Terdapat kelewatan selama 18 tahun untuk tindakan pewartaan kawasan ini diambil. Namun, SPRM telah menjalankan siasatan terhadap semua proses pemberimilikan dan perintah pembangunan melalui semakan dokumen serta rakaman keterangan saksi-saksi terlibat termasuk dari pemaju yang terlibat.

“SPRM juga telah mengadakan lawatan ke tapak kawasan kolam takungan banjir tersebut dan juruukur yang dilantik telah mengesahkan tiada sebarang pencerobohan sempadan berlaku oleh pihak pemaju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hannah dimaklumkan SPRM berhubung perkara berkenaan dalam pertemuan dan kunjungan serta taklimat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd. Halim Aman bersama pengurusan tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2 enam kolam takungan banjir telah diluluskan pemberimilikan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) bagi tujuan pembangunan kediaman dan pembangunan bercampur.

Kolam takungan banjir terlibat ialah Kolam Batu, Kolam Nanyang, Kolam Delima, Kolam Taman Wahyu, Batu 4 ½ dan Taman Desa. Kolam Nanyang, Kolam Delima dan Kolam Taman Wahyu dikenali sebagai Kolam Takungan Banjir Sungai Jinjang (KTBSJ) terletak berhampiran Sungai Jinjang meliputi kawasan seluas 38.64 kilometer (KM) persegi dengan kapasiti penyimpanan sehingga 2.5 juta meter padu air.

Hannah berkata, SPRM turut mengambil maklum tindakan pengurusan tertinggi JWP yang menubuhkan pasukan petugas khas bagi mempercepatkan proses pewartaan kawasan hijau dan kolam takungan banjir sebagai langkah yang tepat untuk mengelakkan perkara seperti ini daripada berulang.

Katanya, JWP komited untuk terus memelihara kawasan lapang dan kolam takungan banjir demi kesejahteraan warga Kuala Lumpur serta akan mempercepatkan proses pewartaan baki 30 peratus kawasan lapang dan kolam takungan banjir yang telah diluluskan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN