Banjir di Sabah terus menurun, 1,476 masih berlindung di PPS

Banjir di Sabah terus menurun, 1,476 masih berlindung di PPS

Penempatan sementara mangsa banjir di Papar. - GAMBAR/IHSAN APM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah menunjukkan penurunan dua hari berturut-turut apabila seramai 1,476 orang daripada 459 keluarga masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), setakat pukul 8 pagi ini, angka terbaharu itu menurun berbanding semalam, sekali gus menandakan trend positif selepas keadaan bencana berlarutan sejak awal September.

Penampang merekodkan 493 mangsa daripada 141 keluarga dengan jumlah yang semakin berkurangan, manakala Membakut menempatkan 738 mangsa daripada 247 keluarga dan Papar seramai 245 mangsa daripada 71 keluarga, kedua-duanya kekal seperti semalam.

“Sebanyak 13 PPS yang masih beroperasi termasuk SK St Paul Kolopis, Dewan Inobong, Dewan KDCA Penampang, Dewan Kampung Gawir, Dewan Masyarakat Bongawan, SMK Membakut serta Dewan Masyarakat Papar,” jelas JPBN dalam kenyataan hari ini.

Sejak bencana banjir dan tanah runtuh melanda negeri itu, sebanyak 14 nyawa terkorban di beberapa daerah termasuk Penampang, Kota Kinabalu, Papar dan terbaharu di Keningau melibatkan petugas SESB pada 18 September lalu.

JPBN memaklumkan pemantauan rapi terus dijalankan dengan agensi penyelamat kekal bersiaga berikutan ramalan hujan berterusan di beberapa kawasan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran awal cuaca signifikan yang dijangka melanda antara 22 hingga 25 September 2025 di Sabah.

“Analisis model ramalan cuaca terkini menunjukkan angin baratan kencang dijangka bertiup di rantau negara dalam tempoh berkenaan. Keadaan ini berpotensi menyebabkan pembentukan fenomena garis badai yang membawa hujan lebat serta angin kencang, khususnya di utara Sarawak, barat Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” menurut kenyataan MetMalaysia.

Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta mendapatkan maklumat terkini melalui laman web rasmi www.met.gov.my, media sosial MetMalaysia atau aplikasi myCuaca bagi memastikan rujukan sahih.

Fenomena garis badai biasanya membawa ribut petir dan angin kencang dalam tempoh singkat, sekali gus berpotensi menjejaskan aktiviti harian termasuk perhubungan darat dan laut. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN