Semua agensi keselamatan, jabatan digerak bantu mangsa banjir di Sabah

Semua agensi keselamatan, jabatan digerak bantu mangsa banjir di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Semua agensi keselamatan dan jabatan berkaitan sudah digerakkan bagi melaksanakan operasi pemindahan, penyelamatan dan penyaluran bantuan kepada penduduk terjejas banjir di utara Sabah dan Sandakan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri juga memantau keadaan semasa bagi memastikan bantuan disampaikan dengan cepat dan berkesan kepada penduduk terjejas di Kota Marudu, Pitas, Paitan dan Sandakan.

“Semua penduduk di kawasan yang dilanda banjir di Kota Marudu, Pitas, Paitan dan Sandakan serta kawasan berhampiran perlu sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga dan tidak sesekali mengambil sebarang risiko,” katanya dalam kenyataan di Facebook,  hari ini.

Beliau turut meluahkan rasa simpati atas musibah banjir dihadapi penduduk yang disifatkannya sebagai satu ujian terutama bagi umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa.

“Di sebalik keberkatan bulan Ramadan ini, ada saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan musibah banjir.Saya merakamkan rasa simpati yang mendalam kepada semua mangsa yang terjejas. Keselamatan rakyat adalah keutamaan kerajaan negeri. 

“Dalam bulan Ramadan yang penuh rahmat ini, marilah kita saling mendoakan dan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada semua yang sedang diuji,” katanya.

Daerah Kota Marudu, Pitas dan Paitan diisytihar sebagai kawasan bencana banjir bermula pukul 6 pagi ini, manakala beberapa kawasan di Sandakan turut dilapor mengalami musibah yang sama berikutan hujan berterusan sejak semalam.

Setakat tengah hari tadi, seramai 336 mangsa banjir daripada 111 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Marudu dan Pitas.

Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah, mangsa paling ramai dipindahkan setakat ini ialah di Kota Marudu membabitkan seramai 274 mangsa daripada 83 keluarga.

Kesemua mangsa dari lima kampung yang terjejas di Kota Marudu itu dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2.

Sementara itu, di Pitas, seramai 62 mangsa daripada 28 keluarga dipindahkan ke empat PPS yang dibuka di daerah itu setakat ini.

PPS terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Rukom, Dewan Majlis Daerah Pitas, Dewan Kusilad dan Dewan Kabatasan dengan sebanyak 19 kampung dilaporkan terjejas akibat banjir setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN