KOTA KINABALU: Seramai 336 mangsa banjir daripada 111 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir di Kota Marudu dan Pitas.
Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah, mangsa paling ramai dipindahkan setakat ini ialah di Kota Marudu membabitkan seramai 274 mangsa daripada 83 keluarga setakat pukul 12 tengah hari tadi.
Kesemua mangsa dari lima kampung yang terjejas di Kota Marudu itu dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2.
Sementara itu, di Pitas, seramai 62 mangsa daripada 28 keluarga dipindahkan ke empat PPS yang dibuka di daerah itu setakat ini iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Rukom; Dewan Majlis Daerah Pitas, Dewan Kusilad dan Dewan Kabatasan.
Bagi daerah Pitas, sebanyak 19 kampung dilaporkan terjejas akibat banjir setakat ini.
Sementara itu, beberapa laluan utama di daerah Pitas dan Kota Marudu dilaporkan tidak dapat dilalui sebarang jenis kenderaan akibat banjir sejak pagi tadi.
Berdasarkan Info Semasa Laporan Bencana dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah di Facebook jabatan itu, tiga laluan terputus setakat ini ialah di Jalan Pinapak dan Kabatasan Dandun di Pitas, manakala Jalan Access Road III, Mini Kompleks Sukan di Kota Marudu.
Jalan Pinapak, Pitas tidak dapat dilalui berikutan kenaikan paras air sungai, khususnya di laluan Kilometer (KM) 4.44, manakala banjir di Jalan Kabatasan Dandun bermula dari laluan KM2.0 – KM3.5.
Banjir turut menjejaskan laluan di KM4.5 Jalan Kanibongan, Pitas, namun masih boleh dilalui kenderaan besar.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) mengeluarkan amaran tahap waspada hujan berterusan di kawasan Sandakan, Kudat atau utara Sabah dan pantai barat, khususnya di daerah Ranau dan Kota Belud yang berlanjutan hingga hari ini.
Susulan amaran itu, MET Malaysia hari ini meningkatkan amaran hujan berterusan ke tahap buruk di daerah Beluran, Pitas dan Kota Marudu, manakala kekal tahap waspada di Ranau, Kota Belud, Telupid, Sandakan dan Kudat. – UTUSAN










