KOTA KINABALU: Situasi banjir yang melanda beberapa daerah di Sabah pulih sepenuhnya hari ini selepas lebih seminggu bencana itu berlaku.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Penampang, Noemi Dyena John Tren, mengisytiharkan keadaan terkawal sepenuhnya semalam dengan penutupan rasmi semua pusat pemindahan sementara (PPS).
“Berdasarkan laporan agensi-agensi di lapangan, banjir di Penampang dan beberapa daerah lain di Sabah kini telah pulih sepenuhnya, dan tiada lagi mangsa ditempatkan di PPS,” katanya.
Di Penampang, PPS Dewan Kampung Gawir, Madsiang yang dibuka sejak 18 September lalu bagi menempatkan mangsa tanah runtuh ditutup secara rasmi petang semalam selepas semua penduduk yang terjejas dibenarkan pulang.
Menurut rekod JPBD, bencana banjir dan tanah runtuh sepanjang bulan ini turut meragut 14 nyawa di seluruh negeri, termasuk seorang di Penampang, tujuh di Kota Kinabalu, tiga di Papar dan seorang di Keningau.
Insiden paling buruk Berlaku pada 15 September lalu di Kampung Cendera Kasih, Kolombong, Kota Kinabalu, apabila tanah runtuh mengorbankan tujuh mangsa. – UTUSAN










