KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 bagi membolehkan ia dibawa terlebih dahulu ke Jawatankuasa Pilihan Khas untuk diteliti secara menyeluruh.
Datuk Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata, mengikut Peraturan Mesyuarat 50(41), sesuatu rang undang-undang boleh dirujuk kepada jawatankuasa pilihan sebelum bacaan kali kedua dijalankan.
“Kalau ikut aturan mesyuarat, bacaan kali kedua RUU Perolehan Kerajaan 2025 dijadualkan hari ini. Namun, sebagai ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi, saya baru pertama kali meneliti rang undang-undang ini hari ini dan ia tidak pernah dibawa untuk dibincangkan di peringkat jawatankuasa.
“Oleh itu, saya mohon supaya kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua RUU ini dan membawanya ke jawatankuasa terlebih dahulu kerana terdapat terlalu banyak perkara dalam rang undang-undang ini yang melibatkan kepentingan awam.
“Perkara ini selaras dengan penegasan Tan Sri Speaker bahawa jawatankuasa pilihan khas perlu diperkasa dalam proses membuat keputusan,” katanya ketika membahaskan usul di Dewan Rakyat hari ini.
Radzi berkata, perbincangan dengan pihak berkepentingan juga perlu diadakan sebelum rang undang-undang itu diluluskan.
Sementera itu, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor berkata, berdasarkan peraturan, urusan kerajaan perlu diutamakan dan cadangan Radzi hanya boleh dipertimbangkan oleh pihak kerajaan.
“Saya kena neutral, tidak boleh berpihak ke kiri (blok pembangkang) atau ke kanan (blok kerajaan). Segala keputusan akhirnya bergantung kepada kerajaan dan sama ada Dewan bersetuju atau tidak,” katanya sebelum kembali meneruskan urusan mesyuarat hari ini. – UTUSAN










