PARLIMEN: RUU Perolehan banyak kelemahan, beri kuasa terlalu luas kepada menteri 

PARLIMEN: RUU Perolehan banyak kelemahan, beri kuasa terlalu luas kepada menteri 

HASSAN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 dikhuatiri membuka ruang konflik kepentingan apabila memberikan kuasa terlalu besar kepada seorang menteri.

Hassan Abdul Karim (PH–Pasir Gudang) berkata, walaupun RUU itu dilihat sebagai langkah reformasi memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti, kelemahan ketara pada beberapa peruntukan menjadikan ia tidak wajar diluluskan secara tergesa-gesa.

“Secara jujur, RUU ini mempunyai banyak kelemahan dan tidak wajar diluluskan secara terburu-buru,” katanya ketika sesi perbahasan RUU berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.

Hassan memberi contoh beberapa peruntukan yang didakwanya memberi kuasa mutlak kepada menteri, termasuk Seksyen 10(1)(a) Jadual Pertama yang membolehkan kontrak mega diluluskan tanpa had siling.

Selain itu, katanya, Seksyen 13(2)(4) menyatakan menteri tidak terikat dengan cadangan lembaga perolehan, manakala Seksyen 12(8) memberi kuasa kepada menteri membuat keputusan tunggal jika mesyuarat lembaga menemui jalan buntu.

“Malah, Seksyen 11(1) Jadual Kedua juga membolehkan menteri mempengaruhi pelantikan ahli lembaga perolehan. Ini jelas meletakkan menteri dalam dua kedudukan bercanggah sebagai pengawal selia dan pada masa sama sebagai peserta dalam keputusan perolehan,” katanya.

Hassan berkata, keadaan itu mewujudkan konflik kepentingan serius kerana kuasa budi bicara yang terlalu luas tertumpu hanya pada seorang menteri, lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri turut memegang jawatan Menteri Kewangan.

“Saya tidak merujuk kepada individu tertentu, tetapi demi menyelamatkan berbilion ringgit wang rakyat, lebih baik RUU ini ditangguh dahulu. Biar lambat, asal selamat,” katanya.

Hassan turut mengingatkan sepanjang 68 tahun kemerdekaan, Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus berhubung perolehan kerajaan sehingga menyebabkan ketirisan besar berlaku.

Beliau merujuk laporan Kementerian Kewangan pada 17 Januari 2023 yang menganggarkan RM10 bilion dapat diselamatkan jika ketirisan dibendung, manakala EMIR Research pula melaporkan kerugian negara akibat rasuah dan ketirisan mencecah RM2.2 trilion hingga RM2.3 trilion dalam tempoh 26 tahun.

“RUU ini memang satu bentuk reformasi yang wajar dipuji, tetapi kelemahan-kelemahan yang ada mesti diperhalusi terlebih dahulu sebelum dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN