Pembangkang minta tangguh RUU Perolehan, sifatkan terlalu ‘ekspres’

Pembangkang minta tangguh RUU Perolehan, sifatkan terlalu ‘ekspres’

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangkang menyifatkan proses pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 terlalu tergesa-gesa walaupun melibatkan undang-undang besar mengandungi 93 fasal serta bakal mengawal perbelanjaan berbilion ringgit wang rakyat setiap tahun.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, hanya dalam tempoh 15 hari daripada penyerahan awal Peguam Negara (AGC) pada 12 Ogos lalu, RUU itu sudah sampai ke peringkat bacaan kedua dan ketiga semalam.

“Daripada kertas putih pada 12 Ogos, ia dibawa ke Kabinet pada 20 Ogos dan diluluskan Jemaah Menteri pada 22 Ogos. Pada 25 Ogos sudah bacaan pertama, 26 Ogos taklimat pula hanya untuk penyokong kerajaan, dan hari ini kita terus bahas bacaan kedua dan ketiga.

“Ini terlalu ekspres, ibarat kelahiran songsang dan tidak cukup bulan,” katanya ketika sesi perbahasan RUU berkenaan di Dewan Rakyat semalam.

Beliau turut mempersoalkan mengapa RUU tersebut tidak dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) seperti yang dilakukan terhadap RUU Anti Lompat Parti 2022 dan beberapa akta besar lain.

“Kalau RUU Anti Lompat Parti yang lebih ringkas boleh melalui JPKP, mengapa undang-undang sebesar ini yang melibatkan dana rakyat tidak diberi ruang sama? Ia seolah-olah penghinaan kepada institusi Parlimen,” katanya.

Ahmad Fadhli turut membangkitkan peruntukan yang memberi kuasa besar kepada menteri termasuk mengecualikan mana-mana projek atau individu daripada pemakaian akta dengan hanya satu tandatangan serta menentukan pelantikan dan penyingkiran ahli tribunal rayuan.

“Kuasa sebegini membuka ruang kepada campur tangan politik, kronisme dan salah guna kuasa. Bagaimana kita boleh anggap tribunal itu bebas jika menteri boleh campur tangan?,” katanya.

Beliau menggesa agar kerajaan menangguhkan kelulusan RUU tersebut dan membawanya terlebih dahulu ke JPKP untuk penelitian lebih mendalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN