PARLIMEN: Pembangkang persoal kuasa menteri

PARLIMEN: Pembangkang persoal kuasa menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 menimbulkan persoalan yang disifatkan memberi kuasa terlalu besar kepada menteri sehingga boleh menjejaskan prinsip ketelusan dan semak imbang.

Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) berkata, walaupun RUU tersebut digubal sebagai langkah pembaharuan untuk memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti dalam perolehan awam, terdapat banyak kelompongan yang berisiko melemahkan semangat sebenar reformasi.

“Antara kelemahan utama ialah kuasa luas yang diberi kepada menteri untuk meluluskan kontrak mega tanpa semakan kewangan, mempengaruhi pelantikan ahli lembaga perolehan, malah menentukan sendiri pelantikan ahli tribunal rayuan.

“Saya khuatir sekiranya integriti menteri dipersoalkan, ia membuka ruang kepada kronisme dan salah guna kuasa. Peranan bercanggah ini mengancam prinsip asas semak dan imbang,” katanya ketika sesi perbahasan RUU berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.

Willie berkata, struktur tribunal rayuan yang dibentuk menerusi RUU tersebut juga menimbulkan persoalan serius kerana semua ahlinya dilantik menteri sekali gus menjejaskan kebebasan badan itu.

“Malah, pengadu pula dipaksa menyalurkan aduan melalui agensi yang mereka cabar. Bagaimana tribunal boleh dianggap bebas jika pelantikan ahlinya ditentukan menteri dan prosedur aduannya pula sebegini?” soalnya.

Selain itu, katanya, soal pendaftaran pembekal turut menimbulkan kebimbangan kerana pejabat pendaftar diberi kuasa untuk menerima atau menolak permohonan tanpa sebab munasabah yang boleh membuka ruang kepada campur tangan politik, diskriminasi dan kronisme.

Beliau turut menyentuh beberapa peruntukan yang memberi kuasa pengecualian meluas kepada menteri termasuk ketika kecemasan yang boleh memintas prosedur serta menjejaskan ketelusan.

“Daripada membawa pembaharuan tulen, RUU ini berisiko memburukkan keadaan serta mengundang penyalahgunaan dalam sistem perolehan negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menangguhkan kelulusan RUU Perolehan Kerajaan 2025 dan memberi ruang secukupnya kepada pihak berkepentingan untuk meneliti serta memberi maklum balas.

“Saya merayu agar kelemahan struktur dan jurang akauntabiliti yang saya bangkitkan diperhalusi sebelum undang-undang ini dilaksanakan. 

“Adalah penting memastikan RUU ini benar-benar membawa reformasi, bukan sebaliknya melemahkan sistem sedia ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN