20 NGO gesa kerajaan tolak Nick Adams duta AS ke Malaysia

20 NGO gesa kerajaan tolak Nick Adams duta AS ke Malaysia

NICK ADAMS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa menolak pencalonan pempengaruh pro-Israel, Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia kerana mempunyai rekod kenyataan ekstremis yang boleh menjejaskan reputasi negara serta keharmonian rakyat pelbagai kaum.

Gesaan itu disuarakan 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-Palestin yang menyifatkan pencalonan Adams sebagai tidak wajar memandangkan beliau pernah mengeluarkan pandangan merendahkan wanita dan Islamofobia serta menyokong agenda Zionis secara terbuka.

Dalam kenyataan bersama, NGO terbabit berkata, kenyataan-kenyataan Adams sebelum ini bukan sahaja bersifat misoginis, bahkan bertentangan prinsip hormat-menghormati dan nilai diplomasi yang diamalkan Malaysia.

“Beliau pernah bermegah apabila menyebabkan seorang wanita pekerja kedai diberhentikan hanya kerana memakai pin ‘Free Palestine’ pada bajunya.

“Malah, Adams juga secara terbuka mengangkat imej ‘lelaki alfa’ yang suka mengunjungi restoran dengan pekerja berpakaian menjolok mata, sekali gus mencerminkan sikap seksis dan menjijikkan,” katanya.

NGO terbabit termasuk BDS Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Viva Palestina Malaysia, Muslim Care Malaysia, Global Peace Mission, MyCARE, Ikram, MAPIM dan Persatuan Cinta Gaza Malaysia.

NGO-NGO berkenaan turut mengingatkan kerajaan berdasarkan Artikel 4 Konvensyen Geneva, negara penerima berhak menolak sebarang calon duta asing yang dianggap tidak sesuai atau boleh menjejaskan kepentingan nasional.

“Malaysia berhak menggunakan kedaulatan sepenuhnya dalam mempertahankan prinsip dan dasar luar negara yang bebas dan beretika. Justeru, kami mendesak agar kerajaan tidak menerima pencalonan individu yang jelas membawa ideologi ekstrem dan retorik pemecah-belah,” katanya.

Adams yang merupakan penulis dan pempengaruh keturunan Australia-Amerika, sebelum ini dicalonkan oleh Presiden AS, Donald Trump untuk menggantikan Edgard Kagan sebagai Duta AS ke Malaysia.

Calon berusia 40 tahun itu dikenali dalam media sosial sebagai figura yang mempromosikan ‘maskuliniti toksik’ dan sering mengeluarkan kenyataan berbaur Islamofobia serta menyokong kuat gerakan Zionis.

NGO terbabit turut menyeru agar kerajaan hanya menerima calon diplomat yang memiliki profesionalisme, sensitiviti budaya dan komitmen untuk memelihara hubungan antarabangsa yang kukuh.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN