KUALA LUMPUR: Pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia terus mendapat bantahan dan kali ini ia disuarakan secara bersama oleh sayap pemuda parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan mahasiswa.
Mereka menyifatkan pencalonan Adams sebagai suatu bentuk provokasi terhadap rakyat Malaysia memandangkan latar belakangnya yang ekstrem, Islamofobia, menyokong rejim Zionis sekali gus tidak layak mewakili nilai diplomasi.
Ketua Biro Antarabangsa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Arief Izuadin Ahmad Jefferi berkata, pencalonan itu mencalar maruah negara kerana Nick Adams bukan seorang diplomat sebaliknya hanya seorang tokoh media konservatif yang menjaja kebencian.
“Kerajaan AS perlu berfikir berkali-kali sebelum menghantar individu yang bukan sahaja menimbulkan ketegangan, bahkan berpotensi merosakkan hubungan dua hala Malaysia-AS secara keseluruhannya,” katanya pada akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan AMK, Ahmad Danish Hairudin menegaskan bahawa Malaysia sebagai negara berdaulat berhak menilai dan menolak mana-mana pencalonan berdasarkan Perkara 4(1) Konvensyen Vienna 1961.
“Malaysia tidak boleh menerima duta yang membawa agenda kebencian dan ekstremisme. Tindakan meluluskan pencalonan sebegini boleh memberi implikasi besar kepada kestabilan hubungan diplomatik dan imej negara di mata dunia, serta kita berhak menolak keputusan AS ini,” katanya.
Tambah Ahmad Danish, calon duta perlulah memahami sensitiviti budaya, agama dan masyarakat majmuk Malaysia serta tidak membawa ideologi yang bertentangan dengan prinsip keharmonian dan keadilan sejagat.
“Duta sepatutnya membantu mengukuhkan kerjasama dua hala termasuk dalam aspek pelaburan, perdagangan dan pembangunan ekonomi, bukannya menjadi liabiliti kepada usaha Malaysia menarik keyakinan pelabur antarabangsa,” jelasnya.
Menurutnya, sebagai langkah awal, satu bantahan dijadual berlangsung malam ini pukul 10 malam di Bukit Bintang bagi menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap penolakan pencalonan Nick Adams.
“Pada esoknya kami akan adakan penyerahan memorandum rasmi di hadapan Kedutaan AS pada pukul 2 petang,” katanya.
Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Amanah Nasional, Mus’ab Muzahar pula berkata, pencalonan Adams hanya akan mencetuskan ketegangan serantau dan tidak membantu ke arah membina hubungan diplomatik yang saling menghormati.
“Kenyataan beliau yang bersifat provokatif, misoginis dan menyokong penjajahan Zionis jelas tidak selari dengan prinsip Malaysia yang menjunjung keadilan, keamanan dan hak asasi manusia,” katanya. – UTUSAN









