Hak Malaysia dapat individu lebih layak berbanding Nick Adams

Hak Malaysia dapat individu lebih layak berbanding Nick Adams

NICK ADAMS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia berhak menerima seseorang yang lebih layak dan sesuai berbanding Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke negara ini.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Kasthuri Patto berkata, pencalonan oleh Presiden AS, Donald Trump itu jelas tidak mencerminkan semangat kerjasama dan diplomasi yang diperlukan dalam hubungan dua hala.

Katanya, ia perlu selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini serta hubungan strategik komprehensif antara kedua-dua negara.

Katanya, Trump perlu menghormati pandangan rakyat Malaysia yang menolak pelantikan Adams berikutan latar belakang dan kenyataan kontroversi dibuatnya.

“Nick Adams sebelum ini sering mengeluarkan kenyataan berbaur seksis, mempersendakan wanita serta membawa pandangan ekstrem yang menjurus kepada Islamofobia khususnya di media sosial.

“Sedangkan peranan seorang duta adalah membentuk dasar luar, memudahkan komunikasi antara negara, mewakili negara asal dalam mesyuarat dan program budaya serta memantau perkembangan semasa di negara tuan rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kasthuri yang juga Setiausaha Hubungan Antarabangsa DAP turut mempersoalkan sejauh mana kelayakan Adams untuk memainkan peranan tersebut secara profesional dan berkesan.

“Berapa banyak kriteria ini yang dipenuhi oleh Adams? Apa pendiriannya terhadap dasar luar, multilateralism, hak asasi manusia, isu gender dan migrasi?

“Adakah beliau benar-benar mampu menjadi jambatan hubungan antara Malaysia dan AS pada era global yang mencabar ini?,” katanya.

Terdahulu, Trump menerusi platform Truth Social mencalonkan Adams yang merupakan pengulas politik konservatif kelahiran Australia dan kini warganegara AS sebagai Duta AS ke Malaysia.

Kasthuri berkata, Adams dilihat tidak mampu menjalankan tugas secara adil dan inklusif sebagai wakil diplomatik di sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya, kaum dan agama.

“Adakah beliau mampu membawa semangat ini dalam peranannya sebagai Duta AS ke Malaysia atau sekadar menjadi wakil ideologi sempit dan berat sebelah?

“Malaysia dan AS telah lama menikmati hubungan erat dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, pertukaran budaya, pendidikan, penjagaan kesihatan, kecerdasan buatan dan hak asasi manusia.

“Hubungan ini perlu terus dipelihara dan ditingkatkan melalui pelantikan duta yang benar-benar layak serta komited terhadap semangat kerjasama antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN