BRUSSELS: Ukraine memerlukan sekurang-kurangnya 70 bilion euro (RM321 bilion) bantuan tambahan daripada negara sekutu Eropah tahun depan, untuk membiayai pertahanan dan persenjataan ketika kos perang dianggarkan mencecah 155 bilion euro (RM711 bilion) pada 2027.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, berkata bantuan itu penting untuk memastikan keupayaan negara itu mempertahankan diri serta membendung Russia.
“Tahun depan perang akan menelan belanja 155 bilion euro. Kami memerlukan sekurang-kurangnya 70 bilion euro lagi daripada anda untuk pertahanan, senjata dan daya tahan kami.
“Jumlah itu realistik. Saya meminta anda menyediakan bantuan ini kerana ia akan membantu kami membendung Russia,” katanya ketika berucap pada mesyuarat Majlis Eropah kelmarin.
Zelenskyy berkata, Ukraine berupaya menggandakan atau meningkatkan sehingga tiga kali ganda pengeluaran beberapa jenis dron, namun kekurangan dana menghalang usaha itu dilaksanakan.
Beliau menjelaskan dron Ukraine memainkan peranan penting dalam mengekang kemaraan tentera Russia.
Katanya, penggunaan dron membolehkan Angkatan Pertahanan Ukraine mematahkan sebahagian besar serangan Russia di barisan hadapan, mengganggu bekalan tentera Moscow dan melemahkan ekonomi negara itu.
“Bayangkan jika kami mampu meningkatkan tekanan terhadap Rusia dua atau tiga kali ganda berbanding sekarang,” katanya.
Zelenskyy menegaskan perpaduan negara-negara Eropah menjadi faktor penting dalam mengekang pencerobohan Russia.
“Jika bukan kerana Kesatuan Eropah yang tegas dan mampu membuat keputusan berani, (Presiden Rusia, Vladimir) Putin pasti sudah melangkah lebih jauh ketika ini,” katanya.- AGENSI











