PETALING JAYA: Lebih 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik setakat ini menyatakan bantahan terbuka terhadap pencalonan tokoh konservatif Amerika Syarikat (AS), Nick Adams, sebagai Duta Besar negara itu ke Malaysia.
Antara yang membantah termasuk sayap pemuda parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) seperti Pemuda Amanah, Angkatan Muda Keadilan (AMK), wakil Pemuda DAP (DAPSY) serta beberapa pertubuhan mahasiswa dan masyarakat awam.
Ketua Penerangan AMK, Ahmad Danish Hairudin menegaskan bahawa Malaysia sebagai negara berdaulat berhak menilai dan menolak mana-mana pencalonan berdasarkan Perkara 4(1) Konvensyen Vienna 1961.
“Sebagai langkah awal, satu, penyerahan memorandum rasmi akan dilakukan di hadapan Kedutaan AS di Kuala Lumpur pada pukul 2 petang, Jumaat ini, dan akan disertai aktivis serta wakil pertubuhan dalam satu perhimpunan aman,” katanya pada akhbar di sini hari ini.
Setakat ini, antara NGO dan badan masyarakat sivil yang menyatakan bantahan ialah Boycott, Divestment and Sanctions (BDS Malaysia), Palestinian Centre for Excellence, Viva Palestina Malaysia, Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muslim Care Malaysia dan Haluan Malaysia.
Turut membantah ialah Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), IKRAM, Pertubuhan Intelektual Perlis (PIP), Majlis Penyelaras Badan Bukan Kerajaan Islam Malaysia (ACCIN), Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (Agenda), dan IKRAM Muda Malaysia.
Selain itu, Muslim Professionals Forum, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) dan Palestinian Forum Malaysia (PFM) turut menolak pencalonan Adams sebagai wakil diplomatik ke negara ini.
Dalam kalangan pertubuhan Islam, Sekretariat Syubban Persatuan Ulama Malaysia (PUM) turut tampil menyatakan bantahan tegas terhadap lantikan Adams tersebut.
Sementara itu, Majlis Belia Malaysia (MBM) turut menyuarakan kebimbangan terhadap pencalonan tersebut yang dikatakan boleh menjejaskan hubungan dua hala antara Malaysia dan AS.
Bantahan turut disuarakan oleh Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang secara terbuka mempersoalkan kewajaran pelantikan tokoh kontroversi itu.
Setakat laporan ini ditulis, lebih 25 pihak termasuk NGO, parti politik dan individu berprofil tinggi menyuarakan pendirian menolak pencalonan Adams sebagai Duta Besar AS ke Malaysia.- UTUSAN










