Pengumuman yang dibuat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mencalonkan Nick Adams sebagai Duta Besar ke negara ini menggantikan Edgard Kagan, yang dilantik bekas presiden Joe Biden pada Mei 2023 perlu dipandang serius.
Dengan ketiadaan pengalaman langsung dalam bidang diplomatik ditambah pula perangainya akan memberi kesan buruk kepada hubungan dua hala AS-Malaysia.
Apatah lagi pencalonan Adams dibuat selepas Trump mengumumkan kenaikan tarif 25 peratus secara khusus ke atas eksport Malaysia, menjadikan negara ini satu-satunya negara ASEAN yang dikenakan layanan sebegitu.
Namun ada perkara yang lebih membimbangkan daripada itu, Adams dan zionis tidak dapat dipisahkan. Dia dikenali dengan pendiriannya yang anti-Palestin!
Bahkan dalam satu visual dimuatnaik dan kemudian ditular, penulis yang didakwa hebat oleh Trump itu menempelak seorang pelayan kerana di dadanya tersemat bendera Palestin dan kemudian memanggil pemilik restoran berkenaan.
Seperti zionis lain yang angkuh, melalui hantaran di X, Adams berbangga selepas berjaya memecat pelayan berkenaan.
“Saya tidak akan bertolak ansur dengan layanan mereka yang menyokong keganasan, saya bersama Israel”.
Melalui dasar Malaysia yang jelas menentang pembunuhan, kezaliman serta penindasan di luar kewarasan akal yang dilakukan rejim zionis Israel ke atas penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat, Trump telah memilih manusia yang angkuh, sombong dan tidak berhati perut sebagai wakil rasmi pentadbirannya ke negara ini. Bukannya individu berwibawa, bersifat moderat dan menghormati nilai keadilan sejagat.
Kerajaan masih belum terlambat untuk bertindak dan di bawah Perkara 4 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961, Malaysia mempunyai hak berdaulat untuk menolak perjanjian iaitu persetujuan rasmi terhadap mana-mana pencalonan duta yang dianggap tidak sesuai.
Ia termasuk pencalonan diplomat asing yang tidak selari dengan dasar luar negara serta sensitiviti tempatan. Dalam keadaan geopolitik dan ekonomi yang mencabar, Malaysia tidak memerlukan manusia toksik dan membawa agenda zionis ke negara ini yang mencari peluang untuk menyucuk jarum halus keharmonian yang ada.
Umat Islam di Malaysia, perlu bertindak segera dan mengambil ibrah dengan apa yang dilakukan ke atas negara Islam lain di dunia Arab.
Pengumuan yang dibuat menunjukkan pentadbiran Trump kini menggunakan strategi yang sama ke atas Malaysia.
Bermula dengan penghantaran wakil provokasi yang bertaraf diplomat, AS akan cuba mengambil kesempatan dengan peluang yang ada untuk melemahkan kejituan masyarakat majmuk sedia ada.
Berdasarkan rekod dan reputasi, Adams memiliki kelebihan melaksanakan agenda itu.
Kesamarataan hak Bumiputera dan bukan Bumiputera, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan banyak lagi isu akan diambil kesempatan untuk mencetuskan isu dalam kalangan kita.
Pelantikan duta besar AS seperti Adams ibarat orang mengantuk disorongkan bantal.
Peluang sebeginilah yang ditunggu zionis, merosakkan daripada dalam seperti mana yang dilakukan di Asia Barat melalui Arab Spring 2010 yang dijadikan sentimen untuk menjatuhkan pemimpin Arab dan memporakporanda rantau berkenaan demi mengukuhkan cengkaman Israel di kawasan yang didudukinya.
Pendirian Malaysia terhadap isu perjuangan rakyat Palestin tidak sedikit pun luntur. Rakyat dan kerajaan berpendirian sama, mereka perlu mendapatkan negara berdaulat dan segala bentuk kezaliman perlu dihentikan dan paling penting pembunuhan beramai-ramai perlu ditamatkan.
Berbeza dengan Malaysia, pendirian terhadap perjuangan rakyat Palestin yang didukung selama ini sama sekali tidak berganjak dan pencalonan Adam oleh Trump perlu dilihat rancangan halus untuk mempengaruhi pembuat dasar di negara ini supaya sedikit demi sedikit terpengaruh dengan dakyah mereka.
Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin politik dan orang perseorangan telah menyuarakan bantahan dan sekiranya pencalonan Adams diluluskan oleh Dewan Senat AS, Malaysia masih mempunyai ruang diplomatik untuk menyuarakan penolakan secara rasmi.
Bagaimanapun, mengenali pemimpin itu, langkah tegas yang akan diambil Wisma Putra berisiko mencetuskan ketegangan hubungan dua hala, khususnya dalam konteks dasar luar agresif Trump yang sebelum ini pernah menyasarkan Malaysia dalam perang tarifnya.
Namun sebagai negara berdaulat, kita ada maruah! – UTUSAN
RAZALI AWANG
Perunding Media Alkhair Malaysia










