GEORGE TOWN : Kemajuan kerja untuk 23 projek kerja air yang sedang dilaksanakan semasa gangguan bekalan air berjadual (SWSI) bermula kira-kira pukul 10 malam tadi kini telah
mencapai tahap 85 peratus iaitu sehingga pukul 10.30 pagi, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, ketika ini, sebanyak 19 daripada 23 projek tersebut telah disiapkan manakala baki empat lagi projek dijadualkan siap kira-kira pukul 4 petang nanti.
“Sehingga pukul 10.30 pagi ini juga, proses penyambungan akhir Saluran Paip Menyeberangi Sungai Perai (SP-RCP) yang berdiameter 1.35 meter (m) di Ampang Jajar, Seberang Perai Tengah (SPT) telah mencapai 46 peratus manakala proses penyambungan yang sama di Kampung Teluk, Seberang Perai Utara (SPU) pula telah siap sebanyak 30 peratus.
“Pada masa yang sama, kerja-kerja penggantian injap 1.2m pada saluran paip 1.2m di Jalan Pengkalan Tambang berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di SPU juga telah mencapai tahap 90 peratus ketika ini.
“Turut merekodkan perkembangan yang baik ialah kerja-kerja pelencongan bahagian saluran paip berdiameter 0.9m di Kompleks Majlis Sukan Negeri (MSN) di Batu Uban dalam daerah Barat Daya yang hampir siap iaitu mencapai tahap 95 peratus,” katanya di sini, hari ini.
Secara amnya, Pathmanathan berkata, hampir semua projek kerja air berjalan seperti yang dirancang sebelum ini dan beliau menjangkakan, menjelang pukul 4 petang nanti, semua kerja tersebut akan dapat disiapkan sepenuhnya.
Dalam pada itu, Pathmanathan berharap, menjelang pukul 10 malam nanti, sebanyak 40 peratus bekalan air akan dapat dipulihkan atau kira-kira 136,683 daripada 341,708 pengguna akaun yang terjejas akan menerima bekalan air semula khususnya di tiga daerah iaitu SPU, SPT dan Timur Laut.
“Menjelang pukul 10.00 malam esok pula, (Ahad) PBAPP menjangkakan kira-kira 88 peratus pemulihan bekalan air atau 300,185 pengguna yang terjejas termasuk majoriti pengguna di Seberang Perai Selatan (SPS) dan Barat Daya akan menerima bekalan air semula.
“Akhir sekali, iaitu menjelang pukul 10 pagi Isnin, PBAPP berharap agar pemulihan bekalan air sepenuhnya dapat dilakukan untuk semua pengguna terjejas, termasuk baki 41,523 pengguna di hujung paip agihan (EOL) dan kawasan kejiranan tanah tinggi di SPS dan Barat Daya,” ujar beliau.
Tambah Pathmanathan, sebarang kemaskini mengenai isu gangguan air itu akan dibuat di laman Facebook rasmi PBAPP dan pihaknya juga akan mengeluarkan kenyataan media esok untuk melaporkan perkembangan proses pemulihan bekalan air.-UTUSAN