NICE selari usaha Pulau Pinang wujudkan persekitaran mesra warga emas

NICE selari usaha Pulau Pinang wujudkan persekitaran mesra warga emas

LIM Siew Khim (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar sempena program Penang Goes Orange (PGO) 2026 di George Town, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Cadangan berkaitan penubuhan Pusat Kepakaran Penjagaan Bersepadu (NICE) di Pulau Pinang disifatkan selari dengan usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan persekitaran yang lebih mesra terhadap warga emas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, dalam hal ini, NICE bukan sahaja akan membantu dari segi menyediakan kepakaran penjagaan warga emas, malah, boleh membimbing keluarga yang berdepan cabaran untuk menguruskan keperluan harian golongan berkenaan.

“Jadi, kalau kerajaan Pusat boleh bantu untuk tubuhkan NICE di Pulau Pinang, maka, kami (kerajaan negeri) amat berbesar hati kerana penjagaan warga emas sememangnya memerlukan bimbingan daripada pakar serta latihan yang khusus.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika bidang ini diusahakan oleh kerajaan negeri sahaja, ia pastinya agak sukar kerana memerlukan banyak sumber,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri program Penang Goes Orange (PGO) 2026 di sini, hari ini.

Selain Pulau Pinang, kerajaan turut mengumumkan mengenai penubuhan NICE di Sarawak pada pembentangan Belanjawan 2027, Jumaat lalu dengan penekanan diberi kepada aspek latihan, penyelidikan serta penjagaan warga emas.

Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menyifatkan cadangan untuk menubuhkan NICE di Pulau Pinang sebagai tepat pada masanya kerana Pulau Pinang dijangka mencapai status negeri menua dalam tempoh beberapa tahun akan datang berikutan peningkatan jumlah penduduk warga emas di negeri itu.

Bagaimanapun katanya, pemilihan lokasi serta kaedah pelaksanaan pusat kepakaran itu ketika ini masih dalam perbincangan dan memerlukan penerangan lanjut.

Sementara itu, Siew Khim berkata, usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang mesra warga emas diteruskan menerusi kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Katanya, MBPP sendiri telah memulakan usaha ke arah bandar mesra usia warga emas sejak tiga tahun lalu dan telah berjaya menyelesaikan kitaran pertama manakala MBSP pula baru sahaja memulakan usaha yang sama bagi memperluas inisiatif berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini