Murid SATS raih emas hiwar kebangsaan

Murid Sekolah Agama Tun Sakaran raih emas hiwar kebangsaan

MURID Sekolah Agama Tun Sakaran (SATS) Semporna yang berjaya mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan. – IHSAN SATS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Murid Sekolah Agama Tun Sakaran (SATS) Semporna Sabah mengharumkan nama Sabah apabila membawa pulang pingat emas dalam pertandingan Hiwar pada Karnival Kokurikulum Bahasa Arab peringkat kebangsaan.

Hiwar ialah dialog atau perbualan dalam bahasa Arab yang menguji keupayaan peserta berkomunikasi dengan sebutan dan intonasi.

Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SATS, Anyrishah Mohd. Shah berkata, pertandingan yang diadakan baru-baru ini di Kota Baharu, Kelantan membuktikan anak-anak Semporna mempunyai potensi besar untuk bersaing di pentas kebangsaan, malah melangkah ke peringkat antarabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya amat berbangga dengan pencapaian kontinjen SATS yang mewakili daerah Semporna dan Sabah dalam Karnival Kokurikulum Bahasa Arab di peringkat kebangsaan.

“Saya juga ingin ucapkan tahniah juga kepada murid yang mengambil bahagian dalam Kalam Arabi, Jamai, Sibaqul Lughah dan Imlak, termasuk pertandingan yang melibatkan peringkat antarabangsa,” katanya kepada Utusan Pelajar.

Beliau berkata, kejayaan itu mencerminkan komitmen, usaha dan kerja keras seluruh warga sekolah dalam membangunkan potensi murid. Beliau yang turut mewakili barisan PIBG merakamkan penghargaan kepada Pengarah Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), Datuk Razzak Tun Sakaran, guru besar, barisan guru pembimbing.

“Usaha dan komitmen semua pihak telah membawa kejayaan ini dan menjadi bukti bahawa dengan bimbingan serta sokongan yang baik, anak-anak kita mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga sekolah dan anak-anak Semporna untuk terus berani mencuba dan mengharumkan nama sekolah, daerah serta negeri Sabah,” katanya.

Anyrishah berkata, pencapaian itu diharap menyemarakkan minat murid terhadap penguasaan bahasa Arab dan kegiatan kokurikulum, selain membuka ruang kepada lebih ramai murid untuk menyerlahkan bakat masing-masing.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini