UMT terajui projek antarabangsa ‘sustainablue’, perkasa ekonomi biru mampan di Malaysia,Indonesia

UMT terajui projek antarabangsa ‘sustainablue’, perkasa ekonomi biru mampan di Malaysia,Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju agenda Ekonomi Biru apabila berjaya menyelaras pelaksanaan projek antarabangsa SustainaBlue yang mencatatkan pelbagai pencapaian signifikan sepanjang tiga tahun pelaksanaannya di Malaysia dan Indonesia.

Projek “Enhancing the Blue Economy in Higher Education Institutions in Malaysia and Indonesia” (SustainaBlue) yang melibatkan 11 rakan kongsi antarabangsa dari Greece, Cyprus, Malaysia dan Indonesia itu berjaya membangunkan ekosistem kerjasama strategik merangkumi penubuhan Pusat Ekonomi Biru Mampan, Sustainable Blue Economy Centers (SBEC).

SBEC ialah pembangunan platform digital serta pelaksanaan program peningkatan kapasiti bagi memperkukuh pendidikan dan pembangunan bakat dalam sektor ekonomi biru dengan matlamat memodenkan penawaran akademik, memperkukuh kerjasama antara IPT dan industri, meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta memperluas peluang kebolehpasaran graduan dalam sektor ekonomi biru mampan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dibiayai bersama oleh program Erasmus dan Kesatuan Eropah (EU), projek ini menggunakan pendekatan Quintuple Helix yang mengintegrasikan lima elemen utama iaitu akademia, industri, kerajaan, masyarakat sivil dan alam sekitar bagi mewujudkan ekosistem ekonomi biru yang lebih inklusif, inovatif dan mampan.

Kejayaan ini turut menyokong aspirasi Naib Canselor UMT, Profesor Dr. Suriyani Muhamad, untuk meletakkan UMT sebagai peneraju Agenda Ekonomi Biru Malaysia bagi Pembangunan Mampan, dengan sokongan Pusat Pembangunan Ekonomi Biru, (UMT BEACON).

Menurut beliau, pembangunan ekonomi biru memerlukan pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, malah memastikan peluang dan manfaatnya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Ekonomi Biru bukan sekadar berkaitan pertumbuhan dan peluang ekonomi, tetapi turut memastikan setiap individu mempunyai peranan dalam membentuk masa depannya. Justeru, pendidikan, pembangunan kemahiran dan kerjasama rentas sektor amat penting bagi melahirkan generasi yang mampu meneroka serta memacu potensi ekonomi biru secara mampan,” katanya.

EMPAT IPT MALAYSIA DAN INDONESIA TUBUHKAN PUSAT EKONOMI BIRU MAMPAN

Antara pencapaian utama projek SustainaBlue ialah penubuhan SBEC di empat institusi pengajian tinggi (IPT) rakan kongsi di Malaysia dan Indonesia iaitu UMT, ⁠USM, Universitas Indonesia (UI) dan Institut Teknologi Sepuluh (ITS). Pusat-pusat ini berperanan sebagai hab kerjasama strategik yang menghubungkan institusi akademik dengan industri biru, pihak berkuasa tempatan serta pihak berkepentingan dalam ekosistem ekonomi biru.

Penubuhan SBEC dilengkapi rangka kerja operasi bersama, mandat yang jelas dan pelan tindakan tahunan bagi memastikan kerjasama dapat dilaksanakan secara sistematik, termasuk melalui perkongsian kepakaran, pembangunan ilmu dan inovasi serta pelaksanaan inisiatif bersama.

Kerjasama tersebut turut diperkukuh melalui pemetaan pihak berkepentingan dan pembentukan rangkaian strategik yang disokong oleh memorandum persefahaman (MoU), sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada kolaborasi antara akademia dan industri.

PLATFORM DIGITAL HUBUNGKAN ILMU, INDUSTRI DAN PELUANG KERJAYA

Satu lagi pencapaian penting ialah pembangunan Blue & Green Acceleration Platform, sebuah platform digital yang berfungsi sebagai hab perkongsian ilmu, jaringan kerjasama dan penerokaan peluang dalam sektor ekonomi biru dan hijau.

Platform ini menghimpunkan institusi pengajian tinggi, pemain industri, agensi kerajaan, masyarakat sivil dan pihak berkepentingan bagi memudahkan perkongsian kepakaran, memperluas jaringan profesional serta merangsang inovasi rentas sektor.

Inisiatif ini sekali gus menyediakan ruang kepada pelajar, ahli akademik dan pemain industri untuk berhubung secara lebih berkesan, di samping meneroka peluang kerjasama dan pembangunan kerjaya dalam sektor ekonomi biru mampan.

KENAL PASTI JURANG KEMAHIRAN, PERKASA KEBOLEHPASARAN BAKAT

Dalam usaha memastikan pembangunan tenaga kerja selari dengan keperluan industri, projek SustainaBlue turut melaksanakan kajian pasaran buruh secara menyeluruh di Malaysia dan Indonesia bagi mengenal pasti jurang kemahiran teknikal, digital dan hijau dalam sektor ekonomi biru.

Dapatan kajian tersebut diterjemahkan melalui laporan komprehensif yang mengemukakan cadangan penambahbaikan program pembangunan kemahiran digital, pengukuhan latihan vokasional serta hubungan yang lebih erat antara institusi pendidikan dan industri.

Hasil kajian ini menjadi asas penting dalam merangka pendekatan pembangunan tenaga kerja yang lebih responsif terhadap perubahan industri, sekali gus melahirkan bakat yang kompeten, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan.

Selain itu, projek ini turut memberi perhatian kepada peningkatan kesedaran mahasiswa, khususnya golongan wanita, terhadap potensi kerjaya dalam sektor ekonomi biru mampan atau sustainable blue careers.

PEMBANGUNAN KAPASITI AKADEMIA PACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN

Bagi memastikan kelestarian hasil projek, program pembangunan kapasiti turut dilaksanakan secara komprehensif melibatkan staf akademik dan pentadbiran di keempat-empat IPT rakan kongsi di Asia.

Program tersebut merangkumi pembangunan modul khusus, webinar, bengkel serta latihan dalam talian menerusi program Training of Trainers (ToT) bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pengurusan kerjasama strategik serta pembangunan pendidikan ekonomi biru dan hijau.

Usaha ini turut memberi penekanan kepada pembangunan kurikulum inovatif yang mengintegrasikan elemen kemahiran biru dan hijau dalam pengajaran dan pembelajaran, selain memperkukuh peranan tenaga pengajar sebagai pemudah cara kepada pembangunan bakat masa hadapan.

Secara keseluruhannya, pencapaian projek SustainaBlue membuktikan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memperkukuh peranan institusi pengajian tinggi sebagai pemacu pembangunan ilmu, inovasi dan modal insan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi biru mampan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini