BEIJING: Malaysia dan China memperkukuh perkongsian perisikan serta operasi penguatkuasaan undang-undang bagi membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya penyeludupan dadah dan penipuan siber.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-dua negara turut menubuhkan jawatankuasa keselamatan bersama bagi menyelaras siasatan dan mempergiat usaha membanteras kegiatan berkenaan.
Katanya, kerjasama itu merangkumi kaedah baharu mendapatkan maklumat awal mengenai operasi penyeludupan dadah serta kewujudan makmal memproses bahan terlarang.
“Selain perkongsian perisikan dan penguatkuasaan, kami juga menggunakan kaedah baharu untuk mendapatkan maklumat awal mengenai operasi penyeludupan dadah serta kewujudan kemudahan memproses bahan menjadi dadah.
“Usaha ini sedang dilaksanakan dan akan diperkukuh lagi,” katanya pada sidang media bersama media Malaysia sempena lawatan kerja lima hari meliputi Beijing dan Tianjin, bermula kelmarin.
Beliau berkata, kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Suruhanjaya Kawalan Narkotik Kebangsaan China juga amat erat.
Ahmad Zahid berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengadakan beberapa perbincangan dengan rakan sejawatannya dari China bagi memperkukuh kerjasama tersebut.
Katanya, kerajaan menerusi Jawatankuasa Pencegahan Dadah yang dipengerusikannya berpandangan usaha membanteras penyeludupan dadah perlu dilaksanakan secara rentas sempadan.
Beliau berkata, kedua-dua negara turut mencatat kemajuan baik dalam usaha berkenaan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia berhasrat memperkukuh kerjasama dengan China bagi memerangi penipuan siber, mempergiat siasatan rentas sempadan serta mendapatkan semula aset yang dicuri menerusi kegiatan haram itu.
Katanya, kerjasama lebih erat penting bagi menangani jenayah rentas negara yang turut melibatkan rakyat kedua-dua negara.
“Untuk penipuan siber, kita menghadapi beberapa kekangan kerana ia bukan hanya melibatkan rakyat China yang menjadi mangsa, ia juga menimbulkan pelbagai cabaran.
“Sebab itu saya percaya kerjasama dua hala antara kedua-dua negara kita cukup penting dalam menangani masalah ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Malaysia menyertai program bersama di bawah Pakatan Antarabangsa bagi Membanteras Penipuan Telekomunikasi dan Siber pada 10 September lalu, dengan siasatan rentas sempadan serta pemulihan aset dicuri dikenal pasti sebagai keutamaan.
“Dalam usaha memperkukuh rangka kerja perundangan bagi menangani jenayah siber, saya sendiri membentangkan Rang Undang-Undang Jenayah Siber di Dewan Rakyat semasa persidangan Parlimen pada Julai lepas,” katanya. – UTUSAN











