Bapa tuntut tindakan lebih tegas demi keadilan arwah anak

Bapa tuntut tindakan lebih tegas demi keadilan arwah anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bapa kepada Asiah Ahmad Shahir,5, yang maut selepas dirempuh ken­deraan dipandu secara melulu di Jalan Kuching, pada Sabtu lalu mahu pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemandu terbabit.

Ahmad Syahir Mohamad Nor Izam,30, berkata, setakat ini, dia dan isterinya sudah menerima takdir berhubung kehilangan anak mereka.

Namun, mereka berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keadilan ditegakkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami serahkan semuanya kepada pihak berkuasa, sudah pasti kami mahu tindakan paling tegas dikenakan terhadap individu berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Syahir berkata, dia dan isteri masih bersedih setiap kali mengenangkan pemergian anak sulung daripada dua beradik itu.

Katanya, adik mangsa yang berusia dua tahun juga sering tercari-cari kakaknya meskipun masih belum memahami sepenuhnya apa yang berlaku.

Beliau turut mengakui masih belum bersedia untuk menceritakan secara terperinci kejadian yang meragut nyawa anaknya itu kerana memerlukan masa untuk menerima kenyataan.

“Ketika kejadian, anak saya berada di tempat duduk penumpang di bahagian belakang bersama adiknya. Apa yang berlaku terlalu pantas,” jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan berhubung kemalangan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan lanjut.

Katanya, pemandu terbabit masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta manakala pegawai penyiasat sedang melengkapkan siasatan serta memantau keadaan pemandu berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.44 petang itu, mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang belakang Perodua Bezza cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika aliran trafik bergerak perlahan dari arah pusat bandar menghala ke Segambut.

Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 30 tahun itu dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta BYD Seal.

Pelanggaran tersebut turut melibatkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Pe­rodua Myvi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini