Tanah runtuh jejaskan bekalan air

Tanah runtuh jejaskan bekalan air

Penduduk melihat keadaan tanah runtuh yang berlaku berdekatan rumah penduduk di Taman Bunga Raya di Tapah, Perak semalam. – UTUSAN/ MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Kejadian tanah runtuh di Taman Bunga Raya di sini menyebabkan berlaku gangguan bekalan air sejak beberapa hari lalu.

Kejadian itu menyebabkan saluran paip air bawah tanah bocor, yang menjejaskan bekalan air di kawasan Tapah, Bidor dan Teluk Intan.

Tanah runtuh juga menyebabkan kira-kira 20 kediaman penduduk taman itu rosak di bahagian dapur, keretakan di dinding dan mendapan tanah menyebabkan struktur rumah tidak stabil.

Setiausaha Persatuan Taman Bunga Raya Tapah, Zaaba Ahmad, 41, berkata, mereka telah lima hari melakukan pemantauan 24 jam kerana khuatir akan keselamatan penduduk.

Katanya, terdapat kira-kira 60 rumah di taman perumahan itu dan kediaman yang terjejas setakat ini sebanyak 20 buah.

“Saya meminta penduduk 20 rumah yang terjejas itu membuat laporan polis. Setakat ini empat rumah mengalami kerosakan teruk di bahagian dinding dan tembok runtuh.

“Pergerakan air bawah tanah menyebabkan penduduk semakin takut. Saya berharap kerajaan negeri dapat bantu penduduk menangani masalah ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bagi Fahmi Ahmad Jakhisi, 42, kejadian berlaku amat pantas sehingga menyebabkan keseluruhan struktur dapur rumahnya runtuh.

Dia yang menetap di situ selama enam tahun bersama isteri dan empat anaknya mendapati ada tanda-tanda rekahan baru di lantai dan dinding rumah.

“Anak-anak dan isteri saya kalau boleh tidak ingin duduk di sini lagi kerana risau perkara sama berulang. Sampai hari ini saya rasakan pergerakan bawah tanah itu masih ada sehingga kesannya merebak ke bahagian ruang makan saya.

“Kami bimbangkan kese­lamatan dan trauma menghadapi keadaan ini sekarang. Buat masa ini, kami sekeluarga menyewa di kawasan perumahan berhampiran sementara menunggu keadaan pulih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN