Tatkala rakan sebaya sibuk menikmati zaman muda, pelakon, Sharmaine Alexander lebih selesa menghabiskan masanya dengan menimba ilmu demi mengejar pencapaian akademik yang cemerlang.
Bagi bekas peserta Dewi Remaja berusia 26 tahun itu, dunia ilmu ibarat tiada titik noktah buat dirinya apatah lagi kini sedang mengejar impian menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan undang-undang sebelum mencecah usia 30 tahun.
Menurut Sharmaine, dia juga mengamalkan disiplin menabung sejak remaja demi memastikan perjalanan akademik dan perancangan masa depannya tidak terganggu akibat kekangan kewangan.
“Saya memang sangat minat belajar. Sejak umur 18 tahun, saya sudah menetapkan matlamat untuk menyambung PhD sebelum usia 30 tahun. Alhamdulillah, semuanya berjalan seperti dirancang.
“Saya mula belajar pada usia 18 tahun dan tidak pernah berhenti sehingga sekarang. Dari usia 18 hingga 23 tahun, saya berjaya mengumpul kira-kira RM10,000 untuk menampung perbelanjaan ketika menjalani latihan dalam kamar (chambering).
“Ketika menerima biasiswa, saya sudah mula menyimpan wang sebagai persediaan untuk tinggal di Semenanjung selepas menamatkan pengajian.
“Bayangkan, untuk deposit tempat tinggal sahaja boleh mencecah RM6,000. Sebab itu, kalau ada sesuatu yang saya mahukan, saya akan menetapkan sasaran dan mengumpul wang lebih awal,” katanya kepada Pancaindera.
Sedar setiap usaha kerasnya perlu diganti dengan pengorbanan, pelakon drama Kasih Yang Terkorban itu terpaksa mengetepikan masanya bersama keluarga tersayang demi memastikan perjalanannya menuju kejayaan berjalan lancar.
Kini memasuki semester pertama pengajian PhD secara sepenuh masa, Sharmaine mengakui perjalanan mengejar gelaran doktor bukan sesuatu yang mudah memandangkan masanya juga semakin terhad.
“Banyak pengorbanan yang perlu saya lakukan. Saya terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga, kadang-kadang tidak dapat pulang ke Sabah dan tidak dapat berseronok seperti rakan-rakan lain.
“Ketika mereka keluar lepak, saya pula sibuk belajar. Tetapi semua itu saya lakukan kerana memang mempunyai minat yang mendalam terhadap pelajaran.
“Saya pula sejenis takut untuk meminta bantuan kewangan daripada orang lain, termasuk keluarga sendiri. Sebab itu, saya akan berusaha sedaya mungkin untuk menguruskan kewangan sendiri
“Baru-baru ini, saya berjaya membeli rumah sendiri pada usia 26 tahun. Saya sangat gembira kerana akhirnya dapat membina kehidupan sendiri di Semenanjung,” jelasnya.
Tambah Sharmaine, kegigihannya mengejar pencapaian akademik cemerlang juga kerana mahu mengubah nasib kehidupannya dan keluarga, selain mahu menghargai pengorbanan ibunya.
“Sebenarnya, kekuatan saya datang daripada ibu yang sentiasa berpesan kepada kami adik-beradik supaya mengutamakan pelajaran kerana pendidikan mampu mengubah nasib dan kehidupan seseorang.
“Memang benar, pendidikan telah mengubah kehidupan saya. Ibu selalu berpesan, kalau mahu keluar dari kampung dan mengubah nasib hidup, kami perlu belajar bersungguh-sungguh,” jelasnya.
Dalam masa sama, Sharmaine berpendapat pendidikan bukan sekadar untuk memperoleh kelayakan akademik, sebaliknya menjadi jaminan masa depan sekiranya kerjaya dalam industri hiburan tidak berjalan seperti yang diharapkan.
“Saya berharap remaja zaman sekarang turut mengutamakan pelajaran kerana pendidikan merupakan jaminan untuk masa depan.
“Sekiranya kerjaya saya dalam industri hiburan tidak berjalan seperti yang diharapkan, sekurang-kurangnya saya masih mempunyai kelayakan untuk kembali bekerja dalam bidang asal sebagai peguam.
“Bagi saya, pendidikan adalah satu bentuk jaminan atau sandaran hidup,”kongsinya.











