SHAH ALAM: Pemilihan Parti Bersatu bagi sesi 2024 – 2027 didakwa berat sebelah dan mengamalkan kronisme apabila mengeluarkan ketetapan selepas borang pencalonan dihantar pada Jumaat lalu.
Perkara demikian didedahkan berlaku apabila ketetapan dalam Perkara 14.14 Perlembagaan Bersatu tidak dikuatkuasakan secara adil bagi pemilihan peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan Naib Presiden.
Menurut sumber, ketetapan berhubung Perkara 14.14 itu hanya dibuat pada mesyuarat MPT baru-baru ini selepas lebih 90 borang permohonan bagi pencalonan MPT dan lapan pencalonan Naib Presiden diterima.
Menurutnya, perkara itu jelas memperlihatkan kronisme selepas borang pencalonan dihantar dan MPT mengetahui calon-calon yang akan bertanding dalam pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada akhir Oktober ini.
“Hal tersebut jelas tidak adil kepada ahli terutama pimpinan muda yang mempunyai substance atau pengalaman dan mahu bertanding. Ia tak sepatutnya berlaku kerana tonggak sokongan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) itu sendiri adalah orang muda.
“Sepatutnya perkara itu diputuskan dan diumumkan sebelum pencalonan dibuka barulah dilihat adil sebab belum tahu calon yang akan bertanding,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, amalan tersebut berlaku selepas terdapat dakwaan wujud gerakan untuk mengekal atau mengembalikan Bersatu ‘lama’ dengan mencantas calon baharu serta bekas ahli UMNO yang baru menyertai parti itu.
“Apabila mereka sudah melihat nama-nama yang akan bertanding dan menyedari terdapat bekas-bekas UMNO yang dikenal pasti mahu menyertai pimpinan tertinggi, begitu juga pemimpin baharu dan lain-lain yang mungkin dilihat tidak ‘sekepala’ dengan mereka.
“Sedangkan ramai pemimpin baharu sudah buat kerja lebih awal untuk menguatkan sokongan parti termasuklah turun berkempen di setiap pilihan raya kecil (PRK), ada wakil rakyat lain, ahli MPT sekarang turun bantu kempen calon PN sehingga mereka hendak menyekat pencalon dalam pemilihan kali ini?” soalnya.
Bersatu dalam perlembagaannya menyatakan Perkara 13.8 meletakkan syarat calon yang hendak bertanding bagi jawatan selain Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden hendaklah daripada kalangan ahli yang berdaftar di ibu pejabat parti tidak kurang daripada tiga tahun sebelum tarikh persidangan cawangan.
Bagaimanapun, Perkara 14.14 pula memberi kuasa kepada MPT untuk tidak menghiraukan Perkara 13.6, 13.7 dan 13.8 dengan memberikan kelonggaran kepada calon-calon yang ingin bertanding mana-mana jawatan.
Dalam pada itu, sumber sama turut menganggap sekiranya ketetapan tersebut dikuatkuasakan, ia akan menjejaskan persiapan parti untuk menghadapi empat pilihan raya negeri (PRN) di Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor serta Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Jika situasi itu berlaku, memang sukar parti untuk menghadapi pilihan raya akan datang dan tak dinafikan ahli dan pimpinan baharu mahukan perubahan pada tampuk kepemimpinan.
“Sikap diamalkan itu tidak ubah seperti UMNO sebelum ini yang dilihat menyekat penyertaan calon lebih segar sehingga dicop mengamalkan ‘warlord’ dan akhirnya dipinggirkan oleh orang muda,” ujarnya. – UTUSAN










