MUKADIMAH
DALAM politik, parti tidak kalah semata-mata kerana kekurangan kerusi atau kelemahan jentera tetapi disebabkan rakyat hilang keyakinan.
Hari ini, cabaran terbesar dihadapi parti-parti Melayu seperti Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukanlah soal kekuatan organisasi atau strategi pilihan raya, sebaliknya persepsi semakin berpecah dan gagal bergerak sebagai satu pasukan.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN), Permatang, NURUL SYAZWANI NOH, persepsi ini ini sebahagian besarnya terbentuk akibat kenyataan yang bercanggah, pertikaian terbuka dan kegagalan mengurus komunikasi dalaman dengan baik.
Katanya, walaupun hakikatnya kerjasama di banyak peringkat masih berjalan seperti biasa, namun rakyat tidak menilai berdasarkan apa yang berlaku di bilik mesyuarat tetapi yang dilihat dan dengar.
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, ASLINDA NASIR dan MOHAMAD ATHIR ISMAIL serta jurufoto, ISKANDAR ISHAK, beliau berkata apabila pemimpin saling mengkritik, penyokong bertelagah dan isu dalaman dibawa ke ruang awam, maka mesej yang sampai kepada rakyat hanyalah satu, parti sedang bergolak.
Apakah sebenarnya cabaran terbesar dihadapi parti-parti Melayu?
Fokus kita sekarang untuk menang. Untuk mencapai kemenangan, kita perlu sedar tiada cara lain selain bersatu dan bergerak bersama-sama. Khususnya Pas dan Bersatu, kedua-duanya perlu kekal kuat dan bersatu. Namun, apa yang berlaku hari ini menunjukkan kita seolah-olah saling menyerang antara satu sama lain.
Maksudnya, parti-parti Melayu masih belum cukup kuat untuk bekerjasama?
Sebenarnya ada perancangan dan strategi yang jelas. Usaha itu memang ada dan pada pandangan saya, perancangan tersebut nampak agak kuat kerana cuba menyatukan pelbagai pihak di bawah satu gerakan.
Dari segi idea, memang kelihatan ada usaha ke arah penyatuan. Namun persoalannya, bagaimana pelaksanaannya di lapangan, adakah benar-benar akan berjaya atau tidak?
Apa yang menjadi kebimbangan YB ketika ini?
Apa yang menjadi kebimbangan saya ialah dari sudut masa dan kesiapsiagaan. Jika pilihan raya umum (PRU) dijangka pada September, adakah kita mempunyai masa yang mencukupi untuk proses penjenamaan dan pengukuhan imej?
Kalau kita tanya sekarang sekalipun, mungkin ada ahli yang masih belum mengenali atau biasa dengan senarai nama yang ada. Ini menunjukkan tahap pengenalan terhadap parti masih rendah.
Pada saya, isu ini perlu diberi perhatian serius. Walaupun strategi telah disusun, persoalannya ialah siapa yang akan membawa strategi itu ke lapangan dan sejauh mana jentera di bawah benar-benar bersedia. Proses ini memerlukan masa yang panjang serta usaha penjenamaan yang kukuh.
Kita boleh lihat sendiri contoh sebelum ini, seperti apabila pemimpin keluar daripada Bersatu dan menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). Walaupun ketika itu terdapat tokoh besar seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beberapa nama berpengaruh lain, namun proses penjenamaan semula bukan sesuatu yang mudah. Ia mengambil masa untuk membina keyakinan rakyat semula.
Hari ini, rakyat lebih melihat keupayaan untuk ‘menyampaikan’ dalam keadaan tekanan kos sara hidup dan isu semasa. Mereka menilai berdasarkan prestasi, bukan sekadar nama atau slogan.
Bagaimana pengaruh pengundi muda terhadap Bersatu dan Perikatan Nasional (PN)?
Kita juga tidak boleh mengabaikan perubahan demografi pengundi. Golongan muda 18 tahun kini semakin ramai menjadi pengundi baharu. Mereka ini membesar dalam era berbeza, dengan pendedahan politik yang juga berbeza, termasuk ketika pandemik Covid-19.
Bagaimana kita mahu mendekati kelompok itu? Mereka bukan sahaja kurang mengenali sejarah politik lama, malah ramai yang lebih terdedah kepada naratif kerajaan semasa. Itu cabaran besar dari segi penjenamaan dan komunikasi politik.
Kalau PRU diadakan dalam tempoh terdekat?
Jika proses itu dibuat dalam tempoh yang singkat, akan memberi cabaran besar kepada Bersatu, dari segi pengenalan calon dan kekuatan jenama. Banyak muka baharu yang masih belum dikenali rakyat dan memerlukan masa untuk benar-benar diterima.
Kadang-kadang kita turun ke lapangan dan memang ada sambutan, namun kita juga perlu akui terdapat kekangan tertentu. Ramai ahli Parlimen tidak dapat turun atau berkhidmat secara optimum kerana tidak mendapat peruntukan yang mencukupi. Ini adalah realiti yang perlu kita fahami.
Kesannya kepada Bersatu?
Sebagai contoh, Tanjong Karang ketika Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi menang kawasan tersebut tetapi berdepan isu peruntukan. Tanpa peruntukan yang mencukupi, sukar untuk ahli Parlimen turun padang dan melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, seolah-olah ‘turun tanpa bekalan’.
Sebab itu timbul persepsi ada yang ‘lompat’ atau memberi sokongan, walaupun pada akhirnya keadaan di lapangan tetap memerlukan sumber dan sokongan yang kukuh. Namun begitu, masih ada usaha untuk bergerak secara bergilir dan membantu seadanya, walaupun tidak ideal.
Bagaimana kedudukan Bersatu ketika ini?
Kadang-kadang timbul isu komunikasi dan persepsi dalam kalangan ahli, termasuk rasa tidak puas hati yang boleh menimbulkan ketegangan jika tidak diurus dengan baik.
Saya juga tidak menyalahkan mana-mana pihak secara khusus. Apa yang saya lihat, keadaan menjadi lebih hangat apabila terdapat pihak-pihak tertentu dalam Bersatu mengeluarkan kenyataan atau tindakan yang akhirnya mencetuskan persepsi seolah-olah wujud pertelagahan besar.
Apa yang gagal dilihat oleh pimpinan Bersatu?
Mungkin bagi mereka perkara itu biasa dalam politik tetapi apabila dibaca dan diperhatikan oleh rakyat, kesannya berbeza.
Rakyat melihat perkembangan ini sebagai petanda perpecahan, walaupun hakikatnya mungkin hanya berpunca daripada isu komunikasi yang tidak ditangani dengan baik sejak awal.
Sama ada bermula daripada isu pemilihan calon atau perkara-perkara lain, saya tidak pasti. Namun, apabila masalah komunikasi berlarutan, ia mudah menimbulkan pelbagai tafsiran.
Lebih membimbangkan ialah persepsi rakyat. Mereka tidak suka melihat parti-parti yang sepatutnya bekerjasama kelihatan bertelagah. Keadaan itu boleh menjejaskan keyakinan penyokong dan memberi gambaran sokongan akan berpecah.
Memang hubungan Pas dan Bersatu putus terus?
Jika dilihat dari sudut kerja dan pentadbiran, khususnya di Selangor, hubungan antara Pas dan Bersatu masih berjalan seperti biasa. Kami terus bekerjasama dalam Dewan Undangan Negeri dan pelbagai urusan lain. Hubungan di peringkat pimpinannegeri juga masih rapat dan kukuh.
Sebab itu saya kata, apa yang berlaku lebih bersifat persepsi yang diperbesarkan. Hakikatnya, hubungan antara pimpinan dan jentera di peringkat negeri masih baik dan tidak menghadapi masalah yang serius. Semua berjalan seperti biasa dan kerjasama tetap diteruskan.
Apa reaksi YB apabila bapa (Tan Sri Noh Omar) kembali menyertai UMNO?
Itu merupakan hak peribadi beliau. Saya percaya beliau mempunyai pertimbangan sendiri dan telah membuat keputusan yang sewajarnya untuk ke arah tersebut. Jadi, saya menghormati keputusan itu.
Namun sebagai ahli Bersatu, saya akui memang sedikit kecewa. Beliau pemimpin yang bernilai dalam parti, walaupun meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). Sumbangannya kepada Bersatu tetap ada dan tidak boleh dinafikan.
Pada masa sama, kita tidak mempunyai sebarang halangan untuk menerima keadaan ini. Saya sendiri memegang mandat atas tiket Bersatu dan PN, jadi saya menghormati keseluruhan proses dan keputusan yang telah berlaku.
Adakah YB akan ikut jejak langkah bapa atau masih kekal dengan Bersatu?
Setakat ini, jika ditanya pendirian saya, saya masih kekal bersama Bersatu. – UTUSAN










