Pengarah syarikat pembinaan sumbang RM19.5 juta kepada Bersatu

Pengarah syarikat pembinaan sumbang RM19.5 juta kepada Bersatu

KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah urusan sebuah syarikat pembinaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau menyumbangkan RM19.5 juta kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas syarikat milik adiknya mendapat projek Pembinaan Jalan Pulau Indah di bawah program Jana Wibawa.

Menurut Pengarah Urusan Mamfor Sdn Bhd, Shahradzi Shamsuddin, 44, sumbangan tersebut dibuat atas permintaan seorang ahli perniagaan, Datuk Azman Yusoff.

Tambahnya, sumbangan RM10.5 juta dibuat sebelum syarikat adiknya, Sutracom Sdn Bhd (Sutracom) menerima surat setuju terima (SST) manakala bakinya RM9 juta lagi disumbangkan selepas menerima SST.

“Pada Julai 2021, Datuk Azman ada menghubungi saya melalui telefon dan meminta saya membuat sumbangan wang kepada Bersatu kerana Datuk Azman akan membantu syarikat Sutracom Sdn Bhd mendapatkan projek (di Pulau Indah).

“Saya akur dengan permintaan Datuk Azman kerana saya beranggapan permintaan Datuk Azman itu adalah kerana syarikat Sutracom milik adik saya yang saya gunakan untuk mendapatkan projek Pembinaan Jalan Pulau Indah di bawah Jana Wibawa telah mendapat minit sokongan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Perdana Menteri pada ketika itu juga adalah Presiden Bersatu.

“Datuk Azman tidak ada menetapkan nilai atau peratusan sumbangan tetapi saya sebagai seorang ahli perniagaan menganggarkan sumbangan yang mampu diberikan adalah sebanyak tiga hingga empat peratus dari nilai kontrak yang diperoleh,” katanya.

Saksi itu berkata demikian ketika membaca penyataan saksi dalam perbicaraan kes Muhyiddin yang didakwa sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff dan tiga syarikat antaranya Nepturis Sdn. Bhd. serta Mamfor Sdn. Bhd. bagi sekutu parti itu.

Menurut Shahradzi, Sutracom pada Februari 2022 menghantar tender kepada JKR yang bernilai RM605,217,790.00 dan SST dikeluarkan pada Oktober 2022 dengan nilai projek RM605,217,790.00.

“Semasa Datuk Azman meminta saya memberikan sumbangan kepada, beliau tidak menetapkan cara bagaimana wang tersebut disalurkan, sama ada melalui bayaran cek ataupun tunai.

“Atas inisiatif saya sendiri saya merasakan penyaluran melalui cek jurubank lebih telus kerana cek tersebut memang mempunyai duit dan tidak akan berhadapan dengan risiko cek tendang,” katanya.

Selain itu, saksi pendakwaan ke-20 berkenaan memaklumkan beliau menyerahkan cek-cek sumbangan di kaunter penyerahan pejabat Bersatu di Petaling Jaya namun tidak mengingati penerimanya yang juga pekerja parti itu kerana berlainan individu setiap kali berbuat demikian.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, sama ada wang RM19.5 juta itu derma, imbuhan atau balasan, yang dijawab saksi, ‘Ia seperti dalam pernyataan saksi saya, ia adalah sumbangan.’

Saksi itu turut mengakui bahawa wang RM19.5 juta adalah jumlah yang besar dan beliau tidak pernah memberikan sumbangan kepada parti politik lain.

Wan Shaharuddin: Adakah sumbangan dalam pernyataan saksi anda adalah satu derma atau balasan?
Shahradzi: Balasan.

Wan Shaharuddin: Jika Datuk Azman tidak minta anda sumbangkan, adakah anda akan sumbangkan walaupun RM100?
Shahradzi: Tidak.

Jelas Shahradzi, sekiranya RM19.5 juta ini tidak disumbangkan kepada Bersatu, wang itu akan digunakan untuk kos operasi, simpanan, membeli aset dan menyelesaikan hutang syarikatnya.

Shahradzi berkata demikian ketika memberikan keterangan terhadap Muhyiddin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.

Ketika disoal balas peguam bela, Chetan Jethwani yang mewakili yang mewakili Muhyiddin, Shahradzi berkata beliau tidak tahu tujuan sumbangan itu diberikan kepada Bersatu.

Disoal lanjut sama ada beliau mengetahui sama ada Bersatu, pegawai atau atau Ahli Majlis Tertinggi parti yang meminta sumbangan itu, Shahradzi menjawab, ‘Saya tidak tahu.’

Saksi itu juga berkata, beliau tidak mengetahui sama ada Muhyiddin ada meminta sumbangan dan saksi itu menjawab tidak tahu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN