Bukan soal ‘biar cepat asalkan selamat' - Utusan Malaysia

Bukan soal ‘biar cepat asalkan selamat’

Masa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), waktu itu, gelombang hijau-biru membadai macam tsunami. PN datang dengan imej bersih, stabil, dan begitu meyakinkan. – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Melantik ketua pembang­kang, lebih kurang macam lantik ketua darjahlah. Kalau urusan melantik ‘ketua kelas’ pun ambil masa berbulan-bulan, macam mana rakyat mahu yakin mereka boleh urus negara esok pagi?”

Ini bukan kata saya. Tetapi cakap seorang warganet dalam ruangan komen di media sosial baru-baru ini.

Bagi kebanyakan orang, kenyataan seperti ini mungkin macam satu bahan lawak hambar atau kita terus beranggapan bahawa dia ini penyokong parti itu atau ini. Itulah, kadang-kadang kita lebih suka memandang rendah dan remeh pandangan dan komen bukan daripada ‘pakar’. Namun, jika diteliti tanpa kacamata kepartian, tersirat kebenaran yang pahit untuk ditelan.

Dalam sebuah gabungan parti politik Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh tokoh berpengalaman seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sekarang, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, dengan segala macam onak duri dilalui sebelum ini, timbul persoalan, apalah sangat sukarnya melantik seorang Ketua Pembangkang?

Dulu, sebut saja PN, ramai yang membayangkan sebuah bahtera yang gagah. Masa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), waktu itu, gelombang hijau-biru membadai macam tsunami. PN datang dengan imej bersih, stabil, dan begitu meyakinkan.

PN mencatatkan sejarah paling ‘ngeri’ buat lawan bila mereka menang 74 kerusi Parlimen. Malah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri pada 2023, mereka sapu bersih Terengganu (32-0) dan hampir ‘tapau’ Kedah (33-3) serta Kelantan. Rakyat, terutamanya di kawasan luar bandar dan anak muda, terpukau. Kejayaan masa itu bukan biasa-biasa.

Tetapi itu cerita dua tiga tahun lepas. Dalam politik, tempoh seminggu itu sudah lama, apatah lagi dua tahun. Hari ini, suasananya tidaklah segah dulu. Nampak tenang dari luar, tetapi kalau telinga itu rapat ke dinding ‘bilik gerakan PN’, mungkin macam-macam bunyi kita boleh dengar.

Selepas mengalami episod bertukar kepimpinan, sekarang orang bercerita pula isu jawatan Ketua Pembangkang. Datuk Seri Hamzah Zainudin sudah letak jawatan, tetapi penggantinya macam main tarik tali.

Pas kata biar lambat asal selamat, Bersatu pula macam sudah mulai rasa kerusi mereka makin mengecil dalam gabungan itu.

Belum habis isu di Parlimen, timbul lagi pula cerita di Perlis. Negeri yang dulunya dianggap ‘kubu kebal’ PN selepas mereka sapu hampir bersih dalam PRN, tiba-tiba jadi panas kembali.

Penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis baru-baru ini secara mengejut mencetuskan pelbagai spekulasi. Ada bisik-bisik mengatakan ada usul undi percaya. Apabila Sidang DUN pun boleh ditangguh tanpa alasan kukuh di mata rakyat, orang mula bertanya, adakah dalaman parti ini sedang bercempera lagi dan lagi?

Hakikatnya, PN sekarang bukan lagi ‘pasukan underdog’ yang dikagumi. Rakyat sekarang sudah mula jadi pemerhati yang sinis. Kalau dulu orang sokong sebab marah pada parti lain, sekarang orang menilai atas prestasi.

Sebelum itu pun, sudah ada isu ‘pengkhianatan’ dalam Bersatu. Enam Ahli Parlimen Bersatu yang beralih sokongan kepada Perdana Menteri atas alasan peruntukan benar-benar memberi tamparan hebat. Ia bukan sekadar soal hilang sokongan, tetapi soal disiplin parti yang nampak longgar.

Pas pula kini nampak makin dominan, sehingga timbul persepsi bahawa Bersatu kini sekadar ‘penumpang’ dalam kereta besar yang dipandu oleh Pas.

Jangan lupa juga faktor luaran. UMNO yang dulu orang kata sudah ‘dilupakan’, kini cuba bangkit dengan naratif ‘Rumah Bangsa’. Langkah ini bukan sekadar gimik politik, ia adalah cubaan UMNO untuk memanggil semula mereka yang lari ke PN dulu.

Apabila UMNO buka pintu seluas-luasnya untuk ‘penyatuan Melayu, di bawah bumbung mereka, sedikit sebanyak ia memberi tekanan kepada PN. Adakah PN akan terjejas? Jawapannya, tentulah ya, kalau mereka terus sibuk bergaduh sesama sendiri. Orang Melayu ini sifatnya mudah kasihan, tetapi mereka juga cepat bosan kalau pemimpin asyik berpolitik tanpa henti.

Dan sebenarnya, ramai yang mengharapkan parti politik Melayu bersatu. Tetapi itulah, bila ada gabungan, kembali pula kepada perangai lama. Mahu bertanding di kerusi sana sini. Mahu lebih dominan. Tidak mahu jadi penyumbang kekuatan parti. Hanya mahu dapat kuasa. Akhirnya rakyat pun meluat.

Pada masa sama, ada pemimpin parti pula yang masuk bakul angkat sendiri, mengatakan pada zaman diterajuinya, rakyat hidup lebih senang dan tenang. Walhal yang patut memberi penilaian sebegitu adalah rakyat. Bukan pemimpin yang bercakap besar.

Berbalik kepada PN, kita faham, dalam mana-mana gabungan politik, ‘angin monsun’ itu pasti akan datang. Tetapi PN janganlah nampak terlalu bergantung kepada nostalgia silam iaitu kejayaan PRU-15.

Sokongan rakyat itu bukanlah ‘cek kosong’ yang boleh ditunaikan bila-bila masa. Ini sudah tahun 2026, pemikiran tidak macam dulu. Rakyat mahukan solusi ekonomi, mereka mahu nampak pembangkang yang kuat dan berfungsi, bukan pembangkang yang asyik dengan drama “siapa lebih besar” dalam parti.

Mereka nampak siapa yang bekerja dan siapa yang sekadar berpolitik. Kalau urusan melantik ketua atau mengurus satu negeri kecil seperti Perlis pun sudah berantakan, macam mana rakyat mahu yakin mereka boleh urus negara yang jauh lebih kompleks?

Ada yang berpendapat, PN perlu segera ‘mandi bunga’ atau sekurang-kurangnya duduk semeja secara jujur dan jangan berbalas-balas kenyataan pada orang media.

Rakyat mahu nampak pembangkang yang kuat dan berfungsi, bukan pembangkang yang asyik bercempera dengan drama ‘siapa lebih besar’ dalam parti.

Selesaikan segera isu Ketua Pembangkang, stabilkan kerajaan negeri di bawah kawalan mereka, dan berhentilah memberi alasan “biar lambat asal selamat”.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan pemimpin Pas lain sering mempertahankan kelewatan ini dengan naratif ‘biar lambat asal selamat’ demi menjaga muafakat dan ketelitian dalam membuat sesuatu keputusan atas alasan tidak mahu menyebabkan perpecahan.

Namun, dalam politik yang bergerak sepantas kilat, ‘berhati-hati’ boleh disalah erti sebagai ‘lemah’ atau ‘tiada kata sepakat’.

Dalam politik moden, siapa yang lambat, dia akan tertinggal di belakang. Jangan sampai bahtera yang dulunya belayar kukuh, akhirnya tersadai di tepi pantai hanya kerana nakhodanya sibuk berebut stereng. Rakyat sedang memerhati, dan kertas undi akan menjatuhkan hukumannya.

FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN