KUALA LANGAT: Seorang operator mesin pemproses tandan sawit maut dan rakan sekerca temukan cebisan tulang selepas dipercayai terjatuh ke dalam mesin tersebut dalam satu kejadian dekat sebuah kilang di Jenjarom, di sini pada tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, polis menerima aduan daripada salah seorang daripada dua rakan sekerja mangsa pada 9.15 malam tadi.
“Menurut pengadu dan rakan sekerja, mangsa merupakan seorang lelaki keluar rehat pada pukul 1 tengah hari dan kembali bekerja pada 1.50 petang, manakala rakan sekerjanya keluar rehat pukul 2 petang dan masuk semula pada pukul 2.30 petang.
“Namun rakan sekerja mendapati mangsa tiada di lokasi (tempat bekerja) dan mesin serat beroperasi tanpa operator. Pengadu dan pekerja mencari di kawasan sekitar pada pukul 5.57 petang dan menemukan kasut, serpihan baju serta cebisan tulang di atas timbunan serat sawit,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, pekerja tempatan itu dipercayai terjatuh ke dalam mesin pemproses berkenaan ketika sedang mengendalikannya.
“Tiada sebarang unsur jenayah dan polis mengkalsifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut (SDR),” ujarnya. – UTUSAN










