PETALING JAYA: Kesejahteraan isi rumah di Malaysia terus menunjukkan peningkatan susulan pertumbuhan pendapatan, penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi dan akses hampir menyeluruh kepada kemudahan asas, namun jurang pendapatan serta peningkatan kos sara hidup masih memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah.
Laporan From Income to Wellbeing: The State of Households 2026 yang diterbitkan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati kemajuan kesejahteraan di peringkat nasional masih tidak dinikmati secara sama rata, khususnya antara isi rumah di bandar dan luar bandar.
Menurut laporan itu, pendapatan median bulanan isi rumah meningkat kepada RM7,017 pada 2024, dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 5.1 peratus sejak 2022.
“Kadar penyertaan tenaga buruh turut meningkat kepada 70.6 peratus pada 2024 berbanding 69.3 peratus pada 2022 dan 68.7 peratus pada 2019, mencerminkan pemulihan pasaran buruh selepas pandemik.
“Bagaimanapun, laporan itu menunjukkan peningkatan pendapatan masih berdepan cabaran apabila perbelanjaan isi rumah berkembang lebih pantas, sekali gus mengecilkan lebihan wang yang boleh digunakan untuk simpanan atau menghadapi kecemasan,” katanya dalam kajian itu.
Perbelanjaan median bulanan isi rumah meningkat kepada RM4,758 pada 2024, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 5.3 peratus dalam tempoh 2022 hingga 2024.
Menurut kajian itu, tekanan itu lebih ketara dalam kalangan isi rumah berpendapatan terendah apabila kumpulan 10 peratus terbawah hanya mempunyai baki 1.8 peratus daripada pendapatan kasar selepas menampung perbelanjaan penggunaan pada 2024, merosot berbanding 10.8 peratus pada 2019.
“Keadaan berkenaan menunjukkan ruang kewangan golongan tersebut semakin terhad untuk menghadapi kenaikan kos sara hidup, terutama apabila mengambil kira komitmen lain seperti bayaran balik pinjaman, cukai dan kiriman wang kepada ahli keluarga,” katanya.
Laporan itu turut mengenal pasti pemusatan aktiviti ekonomi di kawasan bandar sebagai antara faktor yang menyumbang kepada perbezaan pendapatan dan peluang pekerjaan.
Pada 2024, median upah bulanan pekerja di bandar ialah RM2,851 berbanding RM1,698 di luar bandar, manakala pendapatan median isi rumah luar bandar hanya mencapai 56.4 peratus daripada paras di bandar.
Keadaan itu berkait rapat dengan tumpuan pertubuhan perniagaan di kawasan seperti Selangor dan Kuala Lumpur yang menawarkan peluang pekerjaan serta tahap upah lebih tinggi berbanding wilayah lain.
Pada peringkat daerah pula, sebanyak 46.2 peratus isi rumah Malaysia menetap di 22 daripada 166 daerah yang mencatatkan pendapatan median melebihi paras nasional RM7,017.
Sebaliknya, 111 daerah merekodkan kadar kemiskinan melebihi kadar nasional sebanyak 5.1 peratus, memperlihatkan ketidaksamaan ekonomi yang masih wujud mengikut lokasi.
Dalam aspek perbelanjaan, isi rumah berpendapatan rendah turut lebih terdedah kepada kenaikan harga makanan berikutan bahagian perbelanjaan yang lebih besar diperuntukkan untuk keperluan tersebut.
Laporan itu mendapati isi rumah dalam kumpulan 10 peratus terbawah menggunakan 38.3 peratus daripada jumlah perbelanjaan untuk makanan, berbanding 24.5 peratus bagi kumpulan 10 peratus teratas.
Kebergantungan Malaysia terhadap import makanan daripada beberapa negara pembekal turut mendedahkan isi rumah kepada risiko gangguan bekalan dan kenaikan harga.
Hampir tiga perempat bekalan daging lembu negara diimport dari India, manakala kira-kira dua pertiga bekalan sayur-sayuran diimport dari China.
Menurut laporan itu, kenaikan harga makanan boleh memberi kesan lebih besar kepada isi rumah berpendapatan rendah kerana kemampuan mereka untuk menyerap peningkatan kos adalah terhad, sekali gus berpotensi memaksa mereka mengurangkan perbelanjaan lain atau menggunakan simpanan.
Selain faktor ekonomi, laporan itu menegaskan kesejahteraan isi rumah turut dipengaruhi oleh tahap kesihatan, umur, jantina, kualiti pekerjaan serta akses kepada perkhidmatan asas.
Indeks Kebahagiaan Malaysia (MHI) meningkat daripada 6.48 pada 2021 kepada 7.60 pada 2024, manakala Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (MyWI) menunjukkan peningkatan dalam dimensi ekonomi dan sosial sejak 2000.-UTUSAN











